Gajah naik minyak rosakkan rumah Orang Asli

Gajah naik minyak rosakkan rumah Orang Asli

PENDUDUK Orang Asli melihat rumah buluh dan barangan yang dirosakkan gajah di Kampung Mendrod, Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan. – MINGGUAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 400 penduduk Orang Asli di sekitar Kampung Mendrod, Pos Brooke di sini, dibelenggu ketakutan dengan kehadiran sekumpulan gajah liar yang naik minyak merosakkan enam rumah buluh di kawasan kebun mereka sejak Ahad lalu.

Penduduk mendakwa, kejadian itu berlaku pada waktu malam dan awal pagi apabila gajah berkenaan ke kawasan terbabit, mengamuk dengan menolak serta mencabut dinding untuk mencari makanan di dalam rumah.

Seorang penduduk, Alang Budi, 50, berkata, setakat ini enam rumah penduduk musnah dengan serpihan buluh dan barangan bersepah di tanah.

“Saya bersama tujuh ahli keluarga lain bernasib baik kerana terselamat dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu. Kami sempat menyelamatkan diri apabila terdengar bunyi bising gajah di sekitar rumah.

“Keesokan pagi, kami terkejut rumah sudah dirosakkan gajah liar terbabit yang turut merosakkan sebuah motosikal,” katanya semalam.

Seorang lagi penduduk, Peterson Peter Anjit, 53, berkata, rumah buluhnya senget dan rosak teruk akibat serangan gajah kelmarin.

Katanya, dia menyedari kejadian pada pukul 8 pagi semalam selepas melihat barangan termasuk tong gas bersepah di luar rumah.

“Sebelum ini sudah banyak kali gajah datang tetapi tidak membuat kacau seteruk ini. Kami merayu pihak berwajib seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk membantu kerana bimbang keselamatan ahli keluarga dan harta benda,” katanya.

Penghulu Kampung Mendrod, Alang Busu pula menyifatkan serangan gajah kali kini terburuk sejak tujuh tahun lalu dan dianggarkan terdapat lapan ekor gajah berkeliaran di kawasan kampung.

“Sebelum ini, kalau gajah datang, kita halau ia terus lari. Namun, kali ini kita dapati lampu diod pemancar cahaya (LED) yang dibekalkan Jabatan Perhilitan sudah tidak dapat menghalau gajah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN