KUALA NERUS: “Saya bina kediaman impian di Kampung Tanjung Batu Rakit pada 2018 kerana pemandangannya sangat mendamaikan dengan jarak rumah ke pantai kira-kira 100 meter. Namun kini jaraknya hanya tinggal lima meter akibat hakisan.”
Itu luahan Mohd. Yazit Idris, 66, yang tidak menyangka banglonya yang bernilai RM600,000 di ambang kemusnahan akibat hakisan ombak yang semakin mengganas sejak akhir-akhir ini.
Katanya, tidak pernah terbayang di fikirannya ketenangan yang dikecapi satu ketika dahulu bertukar musibah.
“Namun, saya reda dengan ujian yang dihadapi dan bersedia menghadapi apa sahaja ketentuan Allah SWT,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Banglo berwarna biru itu tular kerana berisiko runtuh pada bila-bila masa akibat hakisan pantai yang melanda Terengganu.
Kisah sedihnya itu mendapat pelbagai komen dari rakyat Malaysia yang bersimpati dan berharap banglo yang dibina tanda cinta kepada isteri dapat diselamatkan.
Namun, tidak kurang juga ada yang seolah-olah menyalahkan Mohd. Yazit kerana sanggup mengambil risiko membina kediaman berhampiran pantai meskipun sedar risiko yang bakal dihadapi.
“Saya abaikan komen-komen negatif kerana percaya masih ramai yang mendoakan saya dan keluarga serta semua penduduk pinggir pantai yang terjejas akibat hakisan.
“Percayalah, tiada siapa pun yang ingin perkara ini berlaku dan kini saya hanya berserah nasib kepada yang maha Esa,” katanya.
Dia turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengirimkan doa dan ada yang sanggup datang dari luar Terengganu untuk melihat kesan kemusnahan.
“Ada hamba Allah membantu saya menambak batu mengurangkan kesan hakisan” katanya.










