WASHINGTON: Doktor terkemuka Amerika Syarikat (AS) menggesa supaya minuman beralkohol diberi label amaran risiko sama seperti rokok, selepas penyelidikan baharu mengaitkan penggunaannya dengan tujuh jenis kanser.
Ketua Pakar Bedah AS, Vivek Murthy berkata, majoriti rakyat Amerika tidak menyedari risiko itu, yang menyebabkan kira-kira 100,000 kes kanser dan 20,000 kematian setiap tahun di negara tersebut.
Perubahan label amaran sedia ada, yang tidak dikemas kini sejak 1988, memerlukan tindakan Kongres.
Murthy menggesa penilaian semula had yang disyorkan untuk pengambilan alkohol dan meningkatkan usaha pendidikan mengenai arak serta kanser.
Beliau yang merupakan jurucakap utama mengenai isu kesihatan awam dalam kerajaan persekutuan berkata, alkohol adalah penyebab kanser ketiga paling biasa yang boleh dicegah selepas tembakau dan obesiti.
“Hubungan langsung antara pengambilan alkohol dan risiko kanser terbukti untuk sekurang-kurangnya tujuh jenis kanser, tanpa mengira jenis alkohol yang diminum,” katanya dalam satu kenyataan.
Ini termasuk peningkatan risiko kanser payudara dalam kalangan wanita, kanser tekak, hati, esofagus, mulut, laring dan kolon.
Label amaran pada masa ini diperlukan untuk menyatakan bahawa wanita hamil tidak sepatutnya meminum alkohol kerana risiko kecacatan kelahiran.
Ia juga mesti menyatakan pengambilan minuman beralkohol mengganggu keupayaan untuk memandu kereta atau mengendalikan mesin, dan boleh menyebabkan masalah kesihatan.
Sejak dua dekad lalu, negara semakin memperkenalkan label amaran untuk memberi maklumat kepada pengguna mengenai risiko kesihatan alkohol.– BBC










