SEOUL: Sekurang-kurangnya tiga komander undang-undang tentera digantung tugas semalam, dalam langkah yang dilihat sebagai usaha Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengawal kerosakan akibat kontroversi melanda pentadbirannya.
Menurut Kementerian Pertahanan Korea Selatan, penggantungan itu melibatkan Komander Pemerintahan Pertahanan, Leftenan Jeneral Lee Jin-woo; Komander Pasukan Khas, Leftenan Jeneral Kwak Jong-geun dan Komander Perisikan Tentera, Leftenan Jeneral Yeo In-hyeong.
Ketiga-tiga mereka didakwa menghantar pasukan tentera ke bangunan Parlimen pada Selasa lalu, susulan pengumuman Yoon untuk melaksanakan undang-undang tentera.
Namun, keputusan tersebut dibatalkan dalam tempoh enam jam selepas anggota Parlimen mengundi menolak tindakan tersebut.
Bekas Menteri Pertahanan, Kim Yong-hyun yang dipecat pada Khamis, mengambil tanggungjawab penuh terhadap tindakan yang digelar ‘kudeta sendiri’ oleh Parti Demokrat pembangkang utama.
Sementara itu, Park An-su yang dilantik sebagai Komander Undang-Undang Tentera menyerahkan surat peletakan jawatan, namun masih dalam semakan oleh Kementerian Pertahanan.
Yoon kini berdepan undi pemecatan di Parlimen yang dijadualkan pada Sabtu, di samping siasatan polis terhadap dakwaan pengkhianatan.
Pihak pendakwa juga mengeluarkan larangan perjalanan terhadap sekurang-kurangnya 10 anggota tentera yang didakwa terlibat dalam pelaksanaan singkat undang-undang tentera itu.
Polis dan pendakwa raya menubuhkan dua pasukan penyiasat khas bagi menangani kes tersebut.
Pasukan polis melibatkan 120 anggota, manakala pasukan pendakwa diketuai oleh Park Se-hyun, Ketua Pejabat Pendakwa Tinggi Seoul. -AGENSI










