PETALING JAYA: Kerajaan diminta mewujudkan subsidi yuran taman asuhan kanak-kanak (taska) kepada ibu bapa bagi mengelakkan peningkatan jumlah taska haram ekoran kenaikan yuran di taska berdaftar yang semakin membebankan.
Langkah ini bukan sahaja meringankan beban kewangan ibu bapa tetapi juga bagi memastikan taska berdaftar dapat terus beroperasi dengan mematuhi piawaian keselamatan.
Pengerusi Persatuan TASKA Perak (PTP), Aziah Mohd. Shah Baki berkata, kenaikan yuran taska antara 15 hingga 25 peratus dijangka memberi kesan besar kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah, terutama yang mempunyai ramai anak kecil.
Kenaikan yuran bertujuan menampung kos operasi supaya taska dapat mengekalkan ciri-ciri keselamatan seperti ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kenaikan yuran bergantung kepada kos operasi setiap taska dan ada pengurusan yang menaikkan yuran sehingga 25 peratus kerana kos operasi tinggi, seperti sewa premis dan kos gaji pekerja. Namun, taska yang tidak berani menaikkan yuran terlalu tinggi akan menetapkan kenaikan sekitar 15 peratus.
“Taska haram mengenakan yuran lebih rendah, tetapi mereka tidak mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan. Ini membuka risiko terhadap keselamatan kanak-kanak dan boleh menyebabkan kes penderaan serta kecuaian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan, yuran taska dijangka meningkat bagi menampung kos operasi tambahan termasuk kenaikan gaji minimum, pembiayaan latihan dan kebajikan pekerja.
Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Norsheila Abdullah berkata, peningkatan itu seiring pembayaran gaji pengasuh termasuk dua caruman bulanan selain latihan kemahiran berterusan dan kebajikan harian.
Mengulas lanjut, Aziah berkata, pengusaha taska turut berdepan cabaran besar apabila kos operasi meningkat, termasuk kenaikan gaji minimum dan pembiayaan latihan wajib seperti kursus resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan keselamatan kanak-kanak.
Menurutnya, ramai pengusaha taska memilih untuk tidak memperbaharui lesen kerana tidak mampu menampung kos yang semakin meningkat dan menyebabkan taska yang sebelum ini berdaftar akhirnya beroperasi secara tidak sah tanpa pengetahuan ibu bapa.
“Sekitar 80 peratus daripada yuran taska digunakan untuk membayar gaji pekerja selain menyediakan kemudahan seperti CCTV, peralatan keselamatan dan makanan berkualiti untuk kanak-kanak dan semua itu memerlukan kos.
“Lesen JKM pula perlu diperbaharui setiap lima tahun dengan kos RM250, manakala lesen PBT diperbaharui setiap tahun. Kos tambahan lain seperti kursus dan latihan turut membebankan pengusaha taska,” katanya. – UTUSAN










