RANTAU PANJANG: Ibu kepada kanak-kanak ditemukan mati dalam keadaan tertiarap di rumahnya di Kampung Gual To’Deh yang sedang dilanda banjir, di sini, kelmarin meninggal dunia awal pagi tadi.
Yusnieta Mohd. Lawi, 40, yang menghidap penyakit angin ahmar menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.30 pagi tadi semasa menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu.
Difahamkan Yusnieta terkena serangan penyakit itu semasa anak sulungnya Muhammad Denish Alfi Abd. Talib, 14, mahu mengejutkannya untuk memberitahu Nur Lezarra, 9, sudah tidak sedarnya diri.
Adik iparnya, Norshazlina Jantan, 32, berkata, berita sedih itu diketahui selepas Muhammad Denish Alfi memaklumkan perkara tersebut menerusi hantaran di aplikasi grup WhatsApp keluarga.
“Luluh hati kami sejurus menerima khabar itu. Kehilangan dua ahli keluarga serentak sungguh mengejutkan, tambahan pula arwah Nur Iezarra adalah anak yang sangat baik begitu juga dengan Yusnieta yang sentiasa membantu keluarga.
“Sejak dia (Yusnieta) ke hospital kelmarin, kami resah selepas dimaklumkan keadaannya tidak stabil selepas dipercayai terkena serangan angin ahmar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Norshazlina memberitahu, hanya suami arwah, Abd. Talib Abdullah, 42, bersama Muhammad Denish berada di hospital.
Katanya, dia dan keluarga lain tidak dapat ke HRPZII selepas terperangkap dengan banjir.
“Cadangannya, bila air di laluan utama mulai surut kami melawatnya di HRPZ II. Kami masih bingung dengan apa yang terjadi namun tahu Nur Lezarra sebelum ini pernah diserang sawan tetapi bukan secara kerap.
“Yusnieta mempunyai beberapa penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis. Kami reda dengan ujian ini dan berdoa semoga anak-anak arwah serta suaminya kuat menghadapi dugaan ini,” ujarnya.
Terdahulu Nur Lezarra selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual To’Deh, di sini, kelmarin.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan disahkan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri manakala ibunya dipercayai terkena serangan angin ahmar dalam kejadian di Kampung Gual To’Deh.-UTUSAN










