PETALING JAYA: Aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Kuching City berdepan Selangor FC (SFC) di Stadium Negeri, malam ini boleh dianggap seperti perlawanan bertaraf ‘final’.
Ketika Johor Darul Ta’zim (JDT) mudah mengatasi Kuala Lumpur City dan kini hanya menanti siapa lawan di perlawanan akhir, namun aksi separuh akhir melibatkan skuad Gergasi Merah dan The Cats jelas berbeza dan berlangsung cukup sengit.
Kedua-dua pasukan masih berpeluang memburu slot ke final apabila masing-masing terikat agregat 1-1 pada pertembungan separuh akhir pertama.
Selangor yang memiliki antara jentera serangan menggerunkan dilihat sukar menembusi benteng Kuching City yang merupakan antara pertahanan terbaik dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini, pada separuh akhir pertama di laman sendiri.
Gergasi Merah telah meledak 12 gol dalam saingan Piala Malaysia setakat ini, juga kedua terbanyak selepas JDT namun Kuching City turut kebal apabila hanya melepaskan 10 gol daripada 20 aksi Liga Super setakat ini.
Begitupun, kelebihan kini dilihat berada ditangan The Cats yang bermain dihadapan penyokong sendiri yang dijangka memenuhi setiap sudut tempat duduk stadium, ketika kuota tiket untuk penyokong Gergasi Merah terhad.
Malah, Selangor juga turun tempang tanpa dua figura penting iaitu ketua jurulatih Kim Pan Gon dan peledak utama, Chrigor Moraes, sekali gus memberi tamparan besar buat Gergasi Merah dalam misi memburu tiket ke pentas final.
“Kami sudah mengetahui akan berkunjung ke Stadium Negeri tanpa kelibat Pan Gon dan Moraes. Namun, tetap optimis mampu memberikan saingan sengit dalam usaha meraih keputusan positif,” pengurus Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid.-UTUSAN










