Segerakan tabung bencana tanaman padi

Segerakan tabung bencana tanaman padi

PEMANDANGAN dari atas kawasan sawah yang tenggelam umpama lautan akibat banjir di Kampung Bakong, Arau, Perlis. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan didesak menyegerakan bantuan tabung bencana tanaman padi (TBTP) bagi membantu golongan pesawah yang terjejas teruk berikutan banjir yang melanda beberapa negeri, baru-baru ini.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, bersandarkan pengalaman sebelum ini, bantuan tersebut tiba terlalu lewat hingga pernah mencecah tempoh setahun selepas bencana.

Keadaan itu katanya, membebankan pesawah apatah lagi pada tahun ini, ada dalam kalangan pesawah yang belum merasai hasil ‘duit padi’ sejak Januari lalu setelah bendang mereka ditenggelami air beberapa kali.

“Di Kedah contohnya, kira-kira 6,000 hektar tanah sawah tenggelam pada September lalu ketika padi sudah masak dan hanya menanti masa untuk dituai. Kerugian ketika itu dianggarkan mencecah RM40 juta apabila padi-padi yang sudah matang, musnah akibat dilanda banjir.

“Setelah petak sawah dibersihkan dan memulakan musim baharu, mereka kembali diuji apabila berlaku banjir besar awal bulan ini hingga menyebabkan kerugian setelah menabur benih.
Kali ini dianggarkan 16,000 hektar sawah terjejas namun disebabkan baru mula menanam, kerugian lebih rendah iaitu kira-kira RM10 juta. Jadi disebabkan itu, kami memohon kerajaan beri perhatian kepada perkara ini dan segerakan bantuan melalui TBTP,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, pihaknya percaya kerajaan tidak berdepan masalah untuk melakukan pembayaran segera kepada petani namun hal-hal melibatkan birokrasi perlu diberi perhatian agar petani segera mendapat bantuan untuk meneruskan hidup.

“Perlu ada tindakan segera dari kerajaan kerana petani terjejas sangat merana. Takkan mereka perlu menunggu hingga setahun lagi bagi mendapatkan bantuan untuk memulakan penanaman semula,” katanya.

Dalam pada itu kata beliau, kerajaan juga dalam masa sama perlu mempunyai perancangan untuk berdepan ‘ujian’ berbeza pada tahun depan dalam memastikan nasib petani dapat dibela.

“Setelah tahun ini kita diuji dengan banjir, tahun depan pula khabarnya kita akan berdepan kemarau panjang. Justeru kerajaan perlu menyiapkan perancangan agar golongan pesawah dapat dibela sekiranya berlaku sebarang perkara yang menjejaskan tanaman.

“Selain berkait rapat dengan kelangsungan hidup pesawah, perkara ini juga perlu diteliti demi keterjaminan makanan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×