PETALING JAYA: Pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang di bangku sekolah, pelakon, Nelissa Nizam, bersyukur ibunya mengambil keputusan keluar daripada perkahwinan itu.
Bagi Nelissa atau Nelissa Adreena Nizam, 26, alasan bertahan dalam perkahwinan toksik demi anak-anak adalah tidak munasabah selain memberi kesan psikologi lebih teruk kepada mereka.
“Dulu tidak ada banyak kesedaran mengenai keganasan rumah tangga. Oleh itu, ketika perkara begini berlaku, jiran saya sampai menggigil tidak tahu mahu lakukan apa.
“Terlampau banyak insiden yang berlaku sampaikan saya rasa sangat ajaib kami boleh hidup sampai hari ini.
“Saya bersyukur ibu mengambil keputusan keluar daripada situasi itu. Jika ia toksik, tidak bagus untuk anak-anak membesar dalam keadaan itu.
“Orang selalu beri alasan, mahu bertahan dalam perkahwinan demi anak-anak. Tapi percayalah ia bukan pilihan yang betul kerana saya sudah menyaksikannya di depan mata,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, pelakon Bawah Payung Awan itu juga meyakinkan mangsa keganasan rumah tangga agar tidak takut untuk menyelamatkan diri mereka dan membesarkan anak sendirian.
“Kepada ibu-ibu di luar sana, anda tahu apa yang terbaik untuk anda. Jangan paksa anak-anak membesar dalam keadaan sebegitu.
“Saya rasa wanita kena percaya bahawa ‘pulihkan’ diri sendiri lebih penting daripada semua perkara.
“Dalam keadaan apapun, saya rasa boleh sahaja untuk seorang wanita membesarkan anak sendirian dan bergelar ibu tunggal.
“Selepas berpisah dengan bapa tiri, ibu besarkan kami sendirian. Kami juga bantu cari wang selepas tamat sekolah. Alhamdulillah kami anak-anak membesar okay, elok sahaja,” tambahnya.
Terdahulu, bekas model dan pelakon, Zahnita Wilson mencuri tumpuan apabila mendedahkan menjadi mangsa kekerasan rumah tangga sejak sekian lama.
Perkara tersebut membuatkannya nekad memfailkan cerai terhadap suaminya, Abdul Zackery Ghouse di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang. – UTUSAN










