BERLIN: Ribuan rakyat Syria berkumpul di Berlin semalam, untuk meraikan kejatuhan Presiden Bashar al-Assad dengan membunyikan hon dan mengibarkan bendera pembangkang Syria.
“Kami gembira era diktator berakhir. Assad sudah tiada.
“Semua rakyat Syria kini bersatu,” kata Ahmed, 39, seorang juruteknik kereta api yang melarikan diri dari bandar Aleppo di utara Syria pada 2015.
Jerman mempunyai diaspora Syria terbesar di Kesatuan Eropah, dengan jumlah melebihi satu juta orang.
Ratusan ribu tiba di Jerman selepas perang saudara di Syria bermula pada 2011.
Ramai yang tinggal di ibu negara, Berlin, terutama di daerah kelas pekerja Neukoelln.
Puluhan orang membanjiri jalan utama di Neukoelln sambil mengibarkan bendera pembangkang Syria, sebelum berkumpul di dataran di daerah Kreuzberg.
Ramai yang membawa anak-anak mereka dengan wajah dicat dalam warna kebangsaan Syria, untuk menzahirkan kegembiraan dan kelegaan mereka.
Pada masa sama, kerajaan Jerman mengeluarkan nota peringatan mengenai masa depan Syria.
“Pada ketika ini adalah mustahil untuk menilai apa sebenarnya yang berlaku di Syria.
“Tetapi satu perkara jelas, kejatuhan Assad adalah kelegaan besar bagi berjuta-juta rakyat Syria selepas sekian lama penderaan dilakukan oleh rejim Assad,” kata Menteri Luar, Annalena Baerbock dalam hantaran di X.
Canselor Olaf Scholz berkata, Assad menindas rakyatnya dengan kejam dan menggesa penyelesaian politik untuk menstabilkan negara.– AGENSI










