KUALA TERENGGANU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membuktikan kepentingan mencarum menerusi skim LINDUNG 24 Jam apabila tampil menghulurkan bantuan faedah dan perlindungan kepada seorang pembantu tadbir yang parah dalam insiden bot candat sotong karam di Perairan Terengganu, 3 Julai lalu.
Pertubuhan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa, Muhammad Farris Zakwan Mohd. Ibrahim, 33, yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Kuala Lumpur mengalami kecederaan serius apabila bot yang dinaikinya bersama sembilan yang lain karam dipukul ombak besar.
Kejadian tersebut turut meragut nyawa seorang kru bot akibat keletihan ketika berusaha menyelamatkan para penumpang.
Menurut kenyataan itu, Muhammad Farris yang hampir lemas mengalami kecederaan serius di pergelangan tangan kanan sehingga menyebabkan saluran darah utama, beberapa tendon dan otot terputus.
Selain itu, dia mengalami beberapa luka koyakan pada jari telunjuk kiri serta kecederaan di bahagian belakang bahu kiri sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi menerima rawatan kecemasan.
“Rentetan kejadian berkenaan, Skuad Perkeso Prihatin segera menyemak status caruman Muhammad Farris dan mendapati dia merupakan pencarum aktif di bawah Akta 4 atau LINDUNG Pekerja, sekali gus melayakkannya menerima perlindungan di bawah LINDUNG 24 Jam.
“Melalui rekod caruman aktif itu, dia layak menerima Faedah Perubatan serta Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebagai gantian pendapatan sepanjang tempoh cuti sakitnya dari 4 Julai hingga 21 Julai 2026 dengan jumlah bayaran keseluruhan sebanyak RM1,368.00,” kata kenyataan tersebut.
Perkeso turut memaklumkan Muhammad Farris layak menerima rawatan fisioterapi berterusan bagi membantu memulihkan fungsi tangannya yang cedera dengan keseluruhan kos fisioterapi tersebut ditanggung sepenuhnya oleh Perkeso.
“Kes Muhammad Farris membuktikan bahawa tiada siapa mampu menjangka ujian yang bakal berlaku apabila cuti rehat akhirnya bertukar menjadi tragedi.
“Namun, perlindungan di bawah LINDUNG 24 Jam memastikannya tidak berdepan musibah tersebut secara bersendirian, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan PERKESO untuk melindungi pekerja yang layak ketika berhadapan saat-saat sukar,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Muhammad Farris bersyukur dan lega apabila mendapat tahu dia layak menerima faedah berkenaan sewaktu menerima lawatan daripada pihak Perkeso.
Dia menzahirkan rasa terima kasih atas perlindungan dan bayaran ganti pendapatan yang diterima sepanjang tidak dapat bekerja, sekali gus membolehkannya fokus kepada proses pemulihan tanpa perlu gusar mengenai isu kewangan. – UTUSAN










