MARANG: Pada asalnya keropok badak hanya dihasilkan sebagai bahan mentah untuk diproses menjadi keropok keping, namun permintaan yang semakin meningkat daripada pelanggan mendorong ia dikomersialkan sebagai produk jualan.
Pengusaha keropok keping, Norizan Mohd. Nor, 39, dari Kampung Alur Parit di sini berkata, perniagaan keluarga yang diasaskan ibunya, Rosnani Mat Amin, 59, sejak 2012 itu adalah antara pembekal keropok keping secara runcit dan borong di daerah ini.
Katanya, idea menjual keropok badak tercetus selepas ramai pelanggan mencari bahagian kepala keropok yang terhasil ketika proses menghasilkan keropok keping.
“Keropok badak sebenarnya adalah adunan asal yang digunakan untuk menghasilkan keropok keping. Apabila dipotong menjadi kepingan, ada lebihan di bahagian hujung yang dipanggil kepala keropok.
“Rupa-rupanya kepala keropok ini mempunyai peminatnya sendiri. Hampir setiap hari ada pelanggan yang bertanya mengenainya. Dari situ kami mengambil keputusan untuk menjual kepala keropok atau keropok badak terus kepada pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Norizan berkata, keropok badak seberat tiga kilogram (kg) sebatang dijual pada harga RM35 dan sambutannya amat menggalakkan sehingga sentiasa mendapat permintaan daripada pelanggan.
Katanya, sebanyak 100 batang keropok badak dihasilkan setiap hari, bukan sahaja untuk diproses menjadi keropok keping malah turut dijual secara terus.
“Keropok badak menggunakan ikan selayang segar sebagai bahan utama menjadikan rasanya lebih enak dan berkualiti. Untuk penyimpanan lebih lama, pelanggan hanya perlu menyimpannya di dalam peti sejuk beku.
“Setiap hari kami merebus keropok badak selama kira-kira dua jam dan lebih 200 kilogram isi ikan diperlukan bagi menghasilkan 100 batang keropok badak,” katanya. –UTUSAN










