Putrajaya, Bangkok cari resolusi selatan Thailand

Putrajaya, Bangkok cari resolusi selatan Thailand

ANWAR Ibrahim menyambut ketibaan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Thai­land komited memastikan proses dialog dengan wilayah selatan Thailand dapat direali­sasikan secara berkesan dan menyeluruh.

Biarpun konflik masih berla­ku di wilayah tersebut, namun kedua-dua negara optimis jalan penyelesaian dapat dicapai, sekali gus mengakhiri pergolakan yang mencengkam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha ini penting untuk membawa kepada rancangan lebih komprehensif sekali gus bersama ke arah keamanan.

“Keamanan dan pemba­ngunan adalah matlamat utama kedua-dua negara.

“Pembangunan dapat dilihat di selatan Thailand dan uta­ra Malaysia, kerana wilayah di utara memerlukan pelaburan tam­bahan, begitu juga di selatan,” katanya dalam sidang akhbar bersama Per­dana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra di Bangunan Perdana Putra, di sini semalam.

Pergolakan yang berlaku di lima wilayah selatan Thailand iaitu Narathiwat, Yala, Satun, Songkhla dan Pattani menyaksikan beberapa siri pengeboman dan serangan tembakan berlaku sejak beberapa tahun lalu.

Insiden terbaharu melibatkan kejadian bom di Narathiwat pada Mei lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang cedera termasuk dua rakyat Malaysia.

Walau bagaimana pun, wilayah selatan Thailand tetap menjadi pilihan destinasi percutian rakyat negara ini menyaksikan ratusan ribu memasuki negara Gajah Putih itu setiap kali musim cuti atau perayaan.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, Malaysia dan Thailand juga berkongsi pendirian bersama mengenai isu Laut China Selatan selain menghormati Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) iaitu mengekalkan hubungan baik dengan semua negara.

Selain itu, Anwar berkata, kedua-dua negara juga berkongsi pendirian sama mengenai Myanmar.

“Walaupun kami komited untuk melaksanakan Konsensus Lima Perkara sepenuhnya, kami turut mengambil langkah melalui dialog tidak rasmi di pelbagai peringkat bagi memastikan Myanmar mengambil bahagian dan kembali sepenuhnya sebagai sebahagian daripada ASEAN,” katanya.

Pada masa sama, Anwar turut berterima kasih kepada Thailand kerana berkongsi pendirian sama berkenaan penyertaan Timor-Leste sebagai ahli penuh ASEAN.

“Kami sedang bekerjasama erat untuk memastikan beberapa syarat yang dikenakan dapat dipenuhi sebelum memuktamadkan mesyuarat awal dengan ASEAN, yang diharapkan menjelang akhir bulan Mei depan” katanya.

Dalam pada itu, Malaysia dan Thailand optimis meraih nilai hubungan dagangan dua hala mencecah AS$30 bilion (RM133.8 bilion) menjelang 2027.

Perdana Menteri berkata, walaupun sasaran itu bersifat ‘bercita-cita tinggi’, namun ia mampu dicapai berdasarkan potensi ekonomi kedua-dua negara.

Beliau berkata, ia juga bersandarkan usaha dan polisi kedua-dua negara dalam menyokong komitmen masing-masing dalam memperkukuhkan perdagangan intra-ASEAN serta pelaburan bersama.

“Kami komited, seperti yang telah saya nyatakan berulang kali kepada pemimpin di Thailand sebelum ini,” katanya.

Selain itu, Paetongtarn berkata, Thailand juga komited meningkatkan kerjasama ekonomi melalui peningkatan perdagangan dan pelaburan dengan memberi tumpuan kepada kesalinghubungan sempadan, ekonomi digital, dan pelancongan.

“Saya juga menekankan potensi kerjasama dalam industri getah dan halal yang boleh memberikan manfaat bersama kepada kedua-dua negara,” katanya.

Katanya, bagi kawasan sempadan pula, isu banjir menjadi keutamaan, dan pihaknya akan bekerjasama untuk memperbaiki kesalinghubungan jalan raya dan rel, sekali gus memudahkan perdagangan sempadan dan mengukuhkan interaksi rakyat kedua-dua negara.

Sementara itu, Anwar turut melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Anwar berkata, pelantikan tersebut bagi membolehkan tokoh pemimpin itu berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi ASEAN berkenaan isu-isu ASEAN dan serantau.

“Lantikan Thaksin itu adalah atas dasar hubungan dua hala yang cemerlang antara Malaysia – Thailand.

“Oleh itu, saya setuju untuk melantik Thaksin sebagai penasihat peribadi saya (anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN