Presiden Korea Selatan mohon maaf, akui diri terdesak

Presiden Korea Selatan mohon maaf, akui diri terdesak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di televisyen, selepas mencetuskan kekecohan kerana mengisytiharkan undang-undang tentera minggu ini.

Yoon berkata, beliau tidak akan berusaha untuk mengelak daripada tanggungjawab undang-undang dan politik atas keputusannya, yang dikatakannya timbul daripada rasa terdesak.

“Saya sangat menyesal dan ingin memohon maaf dengan ikhlas kepada rakyat.

“Saya serahkan kepada parti saya untuk mengambil langkah menstabilkan keadaan politik pada masa depan termasuk isu tempoh perkhidmatan saya,” katanya.

Ucapan Yoon hari ini merupakan penampilan umum pertama pemimpin itu sejak beliau membatalkan perintah undang-undang tentera pada Rabu, hanya enam jam selepas ia diisytiharkan, setelah Parlimen melawan kawalan tentera dan polis untuk mengundi menentang dekri tersebut.

Pemimpin parti pemerintah Korea Selatan, Han Dong-hoon berkata, presiden tidak lagi berada dalam kedudukan untuk melaksanakan tugas awam dan peletakan jawatannya kini tidak dapat dielakkan.

Sementara itu, pemimpin pembangkang utama Korea Selatan, Lee Jae-myung turut meluahkan kekecewaan dengan ucapan Yoon.

“Tiada jalan lain selain peletakan jawatan segera presiden dan peletakan jawatan awal melalui pemecatan,” katanya.

Pemecatan memerlukan sokongan dua pertiga daripada 300 ahli Parlimen untuk diluluskan, bermaksud sekurang-kurangnya lapan daripada 108 anggota daripada Parti Kuasa Rakyat (PPP) dipimpin Yoon mesti mengundi.- REUTERS/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×