KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataanya mengenai isu Pulau Batu Putih yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima laporan pada Isnin lalu berhubung kenyataan tersebut yang dimuat naik di laman X milik Presiden Pas itu.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Susulan itu, Razarudin berkata, pihaknya akan memanggil Abdul Hadi dalam masa terdekat bagi dirakam keterangan untuk membantu siasatan.
Isnin lalu, Abdul Hadi dalam laman X miliknya memuat naik kenyataan bertajuk ‘Sejarah Singapura Yang Dibutakan, Batu Puteh Yang Berputih Mata’.
Dalam kenyataan itu, Abdul Hadi memberikan contoh sejarah Singapura yang dijajah oleh British penuh dengan penipuan, kebodohan dan tamak haloba menyebabkan rakyat dan pemimpin Melayu mudah ditipu akibat kurangnya kesedaran politik selain menganggap politik sebagai hal kotor dan penuh penipuan.
Menurutnya lagi, mereka yang tidak terlibat dalam politik akhirnya menjadi mangsa penipuan dan kehilangan kuasa.
Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia.
ICJ turut memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.- UTUSAN











