Penjara Saydnaya ‘neraka dunia’ rejim Bashar al-Assad

Penjara Saydnaya ‘neraka dunia’ rejim Bashar al-Assad

PEMANDANGAN udara penjara Saydnaya di Damsyik, Syria.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad Ahad lalu, orang awam Syria yang mengharapkan berita tentang saudara mereka berpusu-pusu menuju ke penjara paling rahsia dan terkenal di negara itu di Saydnaya.

Ditubuhkan pada awal 1980-an di sebuah bandar kecil kira-kira 30 kilometer (km) di utara ibu kota Damsyik, Saydnaya menjadi lokasi keluarga Assad menahan penentang rejim selama beberapa dekad.

PENJARA RAHSIA SAYDNAYA

Dirujuk sebagai ‘rumah penyembelihan’ oleh kumpulan hak asasi manusia, beribu-ribu orang dikatakan ditahan, diseksa dan dibunuh di penjara itu sejak perang saudara Syria bermula pada 2011.

Susun atur Saydnaya menjadi rahsia yang dijaga rapi dan imej dari dalam penjara tidak pernah dilihat sebelum ini.

Perincian susun atur penjara hanya boleh diwujudkan berdasarkan temu bual dengan bekas pengawal dan tahanan.

Tetapi maklumat daripada kumpulan hak asasi manusia dan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menawarkan gambaran tentang bangunan tersebut yang menjadi simbol kuat pemerintahan kejam serta penindasan oleh keluarga Assad.

Saydnaya ditadbir selama beberapa dekad oleh polis tentera Syria dan perisikan tentera, dengan pembinaan bermula pada awal 1980-an.

Tahanan pertama tiba di kemudahan 1.4 km persegi itu sekitar 1987, ketika tempoh 16 tahun pemerintahan bapanya, bekas Presiden, Hafeez al-Assad.

Setelah beroperasi sepenuhnya, penjara itu mengandungi dua kemudahan tahanan utama.

Menurut kumpulan hak asasi manusia, Bangunan Putih berbentuk L di tenggara kompleks yang luas itu dibina untuk menahan pegawai tentera dan tentera yang disyaki tidak setia kepada rejim.

Bangunan Merah pula adalah penjara utama untuk penentang rejim, pada mulanya menempatkan mereka yang disyaki menganggotai kumpulan pejuang.

Sayap ini terkenal kerana bentuk Y yang tersendiri, dengan tiga koridor lurus terbentang dari hab pusat utamanya.

Kira-kira 10,000 hingga 20,000 tahanan boleh ditempatkan di antara dua bangunan itu, menurut kumpulan hak asasi manusia yang pernah bercakap dengan banduan dibebaskan.

Video yang beredar dalam talian sejak Ahad lalu dan disahkan oleh BBC Verify menunjukkan bilik pengawasan besar di dalam penjara itu dipenuhi dengan skrin kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan keadaan di berpuluh-puluh sel penjara.

MEDAN PENGANIAYAAN

Menurut laporan oleh Amnesty International pada 2017 yang memetik bekas pengawal penjara itu, selepas perang saudara Syria bermula pada 2011, Bangunan Putih dikosongkan untuk menempatkan mereka yang ditahan kerana mengambil bahagian dalam protes menentang rejim Assad.

Seorang bekas pegawai memberitahu Amnesty, selepas 2011, Saydnaya menjadi penjara politik utama di Syria.

Organisasi itu juga memetik keterangan bekas banduan mendakwa mereka yang ditahan di Bangunan Merah sering terdedah kepada pelbagai kaedah penyeksaan, termasuk dipukul dengan teruk, dirogol dan dinafikan akses makanan serta perubatan.

Di bawah Bangunan Putih terletak kawasan dipanggil ‘bilik pelaksanaan hukuman’, di mana tahanan di Bangunan Merah akan diangkut untuk digantung.

Seorang bekas pengawal berkata, senarai nama mereka yang akan dihukum mati dari Bangunan Merah akan diberikan pada waktu makan tengah hari.

Tentera kemudiannya akan membawa mereka ke bilik tahanan bawah tanah yang kadang kala dipenuhi sehingga 100 orang di mana mereka dipukul teruk.

Banduan yang bercakap dengan Amnesty berkata, tahanan di Bangunan Merah lazimnya dipindahkan antara tengah malam dan pukul 3 pagi.

Tahanan yang ditutup matanya kemudian dibawa menuruni anak tangga ke dalam bilik pelaksanaan hukuman di bahagian tenggara Bangunan Putih, sebelum dibawa naik ke pelantar setinggi satu meter untuk digantung.

Menurut Amnesty, pada 2012 bilik itu diperluaskan dengan tambahan platform dan 20 lagi tali gantung.

Dalam rakaman dikongsi media yang bersekutu dengan pejuang selepas kejatuhan rejim, kumpulan itu mempamerkan berpuluh-puluh tali gantung yang mereka temukan di bilik sekitar Saydnaya.

Dianggarkan lebih 30,000 tahanan dihukum mati atau maut akibat penyeksaan, kekurangan rawatan perubatan mahu pun kebuluran antara 2011 dan 2018.

Menurut Persatuan Orang Hilang dan Tahanan di Penjara Saydnaya (AMDSP) yang memetik akaun beberapa banduan yang dibebaskan, sekurang-kurangnya 500 lagi tahanan dihukum bunuh antara 2018 dan 2021.

Pada 2017, Jabatan Negara AS mendakwa pihak berkuasa telah membina krematorium untuk membuang mayat banduan yang dibunuh sebagai sebahagian daripada usaha menutup tahap pembunuhan besar-besaran yang berlaku di penjara Saydnaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN