Op Pedo: PDRM, SKMM giat jejak individu simpan bahan lucah kanak-kanak - Utusan Malaysia

Op Pedo: PDRM, SKMM giat jejak individu simpan bahan lucah kanak-kanak

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat menjejaki pesalah seksual dipercayai menyimpan bahan pornografi kanak-kanak dan dewasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan itu akan diteruskan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
dari semasa ke semasa menerusi Op Pedo.

“Kita bekerjasama dengan SKMM bagi mengesan pesalah seksual dan mendapatkan maklumat berkaitan.

“Polis juga menyiasat lanjut bagi mengenal pasti kegiatan ini melibatkan sindiket atau secara individu selain usaha mengesan pelaku lain untuk tindakan lanjut sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat dinasihatkan untuk menyalurkannya bagi membantu siasatan.

Akhbar ini hari ini melaporkan seramai 13 lelaki ditahan secara berasingan pada Isnin menerusi Op Pedo di enam negeri, kerana disyaki menyimpan video dan gambar pornografi kanak-kanak dan dewasa.

Sebanyak 18 premis di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Johor dan Terengganu diperiksa dalam operasi bersepadu dijalankan oleh PDRM dan SKMM.

Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai peranti dan peralatan komputer milik kesemua suspek.

Op Pedo itu memukan kira-kira 40,000 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan pornografi dewasa.

Objektif operasi bersepadu itu bertujuan menjejaki pesalah seksual terhadap kanak-kanak melibatkan aktiviti dalam talian khususnya di platform media sosial.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN