Malaysia, India runding turunkan harga beras import

Malaysia, India runding turunkan harga beras import

ANWAR Ibrahim dan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (dua dari kiri) ketika menghadiri Majlis Peluncuran Jualan Termurah Madani di Jalan Kampung Masjid Timah, Permatang Pauh, Pulau Pinang semalam.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH: Malaysia berjaya melakukan rundingan dengan kerajaan India dalam usaha menurunkan harga beras import dari negara itu.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rundingan itu dibuat sebagai alternatif berikutan kekurangan bekalan beras tempatan yang dihadapi negara ketika ini.

“Ya, beras tempatan ada masalah juga, sikit. Tapi, sekarang ini, harga beras import pun dah turun sebab kita berjaya runding dengan kerajaan India.

“Baru-baru ini saya (dah) ke negara dia (India). Runding sikit-sikit dengan harga lebih murah supaya dapat ringankan beban masyarakat,” kata Anwar ketika berucap sempena Majlis Peluncuran Jualan Termurah Madani di Jalan Kampung Masjid Timah di sini, semalam.

Sempena program itu, sebanyak 200 kampit beras dan 1,000 ekor ayam diagih secara percuma khususnya kepada mereka yang membuat pembelian bernilai RM50 dan ke atas.

Dalam pada itu, Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) bagi Majlis Tindakan Negara Bagi Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, pelbagai jenis ikan dan makanan laut sebanyak lima tan turut dijual dengan potongan harga istimewa sempena program berkenaan.

“Sejak bulan Februari, hampir 300 program Jualan Madani) kita lancarkan. Kita pertahankan konsep yang ada iaitu beli secara pukal di pelbagai sumber, kita pintas rantaian bekalan dan kita bantu kita,” ujar beliau.

Tambahnya, sebanyak RM5.27 juta hasil jualan juga diraih sepanjang tempoh itu dengan rakyat menerima penjimatan sehingga RM1.05 juta.

Dalam pada itu, Kerajaan Pusat bersetuju meluluskan geran padanan berjumlah RM50 juta bagi tempoh lima tahun untuk inisiatif Penang Silicon Design @5km+.

Berita gembira itu diumumkan sendiri oleh perdana menteri ketika berucap merasmikan program tersebut di sini

Menurut Anwar, inisiatif Penang Silicon Design @5km+ itu adalah satu projek yang membanggakan Pulau Pinang dan mampu melonjakkan kekuatan ekonomi negeri.

“Jadi, ini satu inisiatif yang akan letakkan Malaysia sebagai pusat penting semikonduktor di Asia. Permohonannya (Chow) kecil, sekitar RM12 juta setahun, kira-kira RM60 juta (untuk tempoh lima tahun). Kalau saya Ketua Menteri, saya minta RM200 juta.

‘’Tetapi Chow tahu kekangan kita, maka, saya luluskan RM50 juta yang akan bantu memudahkan mereka, kita tidak mahu mereka pening dengan kewangan,” katanya.

Sementara itu, Anwar juga mahu universiti awam membuka ruang kerjasama lebih erat dengan pihak industri terutamanya dalam bidang teknologi tinggi bagi memenuhi keperluan semasa negara.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan wujudnya sinergi antara pihak industri dan universiti untuk meneroka disiplin ilmu baharu khususnya dalam industri semikonduktor.

“Universiti perlu memberi ruang secukupnya kepada pihak industri untuk bekerjasama secara lebih agresif.

“Penyesuaian perlu dilakukan dari semasa ke semasa, namun cara terbaik untuk mendidik, melatih, meningkatkan kemahiran dan memperbaharui kemahiran adalah melalui sinergi antara industri dan institusi pendidikan,” katanya.

Anwar juga berkata, Malaysia mempunyai dasar yang jelas dan kestabilan politik yang memudahkan negara menarik pelaburan asing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN