Lima individu didakwa atas kematian bekas penyanyi One Direction

Lima individu didakwa atas kematian bekas penyanyi One Direction

LIAM PAYNE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUENOS AIRES: Lima individu didakwa oleh pihak berkuasa Argentina berhubung kematian bekas penyanyi kumpulan One Direction, Liam Payne yang ditemukan meninggal dunia selepas terjatuh dari balkoni tingkat tiga sebuah hotel di Buenos Aires pada 16 Oktober lalu.

Menurut kenyataan Pejabat Pendakwa Raya Argentina, pengurus hotel Gilda Martin, penyambut tetamu, Esteban Grassi dan rakan Payne, Roger Nores didakwa atas tuduhan membunuh tanpa sengaja.

Manakala, dua kakitangan lain, Ezequiel Pereyra dan pelayan Braian Paiz pula didakwa atas kesalahan membekalkan dadah.

Mahkamah mendakwa Ezequiel menjual kokain kepada Payne pada 15 dan 16 Oktober, manakala Braian didakwa membekalkan kokain kepada penyanyi itu dua kali pada 14 Oktober.

Roger Nores, dituduh atas kegagalan memberikan bantuan sewajarnya kepada Payne, yang diketahui bergelut dengan masalah ketagihan.

Gilda Martin pula didakwa kerana tidak memastikan Payne ditempatkan di kawasan selamat, walaupun mengetahui keadaan penyanyi itu yang berisiko tinggi di bilik hotel tersebut.

Esteban Grassi juga didakwa kerana meminta kakitangan lain membawa Payne ke bilik meskipun keadaan penyanyi itu tidak stabil, menyebabkan risiko kematian meningkat.

Hakim Laura Bruniard dalam keputusan mahkamah menyatakan tindakan mereka tidak dirancang untuk menyebabkan kematian Payne tetapi mencetuskan risiko besar terhadap nyawanya.

Hakim memerintahkan Ezequiel Pereyra dan Braian Paiz ditahan reman sementara proses mahkamah berjalan dan jika sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dikenakan hukuman penjara antara empat hingga 15 tahun.

Dalam pada itu, kes terhadap Gilda Martin, Esteban Grassi dan Roger Nores yang didakwa atas tuduhan pembunuhan tidak sengaja mungkin membawa hukuman penjara sehingga lima tahun.

Kematian Payne, bintang pop terkenal menerusi kumpulan One Direction, meninggalkan kesan mendalam kepada peminat di seluruh dunia.

Upacara pengebumiannya diadakan di Amersham, Buckinghamshire, bulan lalu dengan kehadiran ahli keluarga, rakan terdekat dan bekas ahli kumpulannya, termasuk Harry Styles, Louis Tomlinson, Niall Horan serta Zayn Malik.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×