SEREMBAN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bersama Badan Kawal Selia Air (BKSA) Negeri Sembilan diarah membawa ketua-ketua kampung di daerah ini bersama ahli jawatankuasa untuk menelusuri sepanjang Sungai Linggi untuk melihat pencemaran berlaku.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika memberikan arahan itu berkata, kerajaan negeri tegas dalam isu ancaman pencemaran alam khususnya di Sungai Linggi di sini dan mahu ketua-ketua kampung memahami apa yang beliau maksudkan.
Tegasnya, mereka perlu memainkan peranan bagi meningkatkan kesedaran komuniti di peringkat akar umbi berkenaan kepentingan menjaga sungai.
“Sesekali saya mahu minta JPS, BKSA, buat lawatan bersama ketua kampung di sekitar Seremban untuk menelusuri sepanjang Sungai Linggi sampai Kuala Linggi bagi membolehkan mereka melihat sendiri apa yang berlaku di Sungai Linggi, sungai tempat kita ambil air untuk minum,” katanya dalam ucapan pada Majlis Menandatangani dan Penyampaian Nota Persefahaman (NoU) Sektor Aktiviti Hijau dan Kitar Semula Bagi Program Sejahtera Komuniti Madani Negeri Sembilan.
Wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan persatuan penduduk turut hadir.
Pencemaran Sungai Linggi kerap kali dilaporkan kebelakangan ini sama ada berpunca daripada pelepasan bahan pencemar oleh industri ataupun berkaitan pembuangan sampah oleh penduduk.
“Saya melihat sendiri perbuatan membuang sampah ke dalam sungai ketika pergi ke Pasar Besar Seremban dan ia dilakukan sesuka hati dan tiada adab,” kata Aminuddin.
Utusan Malaysia sebelum ini beberapa kali melaporkan gesaan pelbagai pihak supaya isu Sungai Linggi khususnya berkaitan pencemaran dapat diuruskan dengan baik.
Sementara itu, Menteri Besar memaklumkan menyokong dan berbesar hati sekiranya pihak komuniti dapat meluaskan projek upcycling iaitu mengubah barangan dan bahan terpakai menjadi produk baharu yang bernilai.
“Botol plastik, tayar dan bungkusan makanan plastik contohnya, boleh diubah jadi barang perhiasan seperti pasu bunga. Menerusi pelaksanaan program seperti ini, kerajaan negeri yakin amalan 3R dapat diperkasakan,” katanya. – UTUSAN










