PETALING JAYA: Kenderaan berat yang beroperasi dalam industri berisiko tinggi dicadangkan melalui pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sekurang-kurangnya empat tahun sekali bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan selamat kepada pengguna jalan raya.
Antara kenderaan berat yang berisiko adalah lori tangki membawa bahan berbahaya, treler dan sebagainya yang perlu dipastikan berada dalam keadaan selamat khususnya ketika menggunakan laluan berkapasiti tinggi.
Ketua Pusat Penyelidikan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua bersetuju dengan keperluan untuk kenderaan berat berisiko tinggi menjalani pemeriksaan lebih kerap.
Katanya, ia disebabkan kenderaan berat ini membawa risiko besar kepada pengguna jalan raya kerana saiznya, kapasitinya, beratnya dan kekerapan kehadirannya di jalan raya.
“Pemeriksaan tahunan sahaja mungkin tidak mencukupi untuk memastikan keselamatan kenderaan ini, terutama dari segi komponen kritikal seperti tayar, sistem brek dan gandar. Pemeriksaan berkala dapat membantu mengesan masalah mekanikal lebih awal sebelum ia menjadi punca kemalangan.
“Idealnya, kenderaan berat perlu menjalani pemeriksaan sekurang-kurangnya dua kali setahun namun dalam beberapa kes, terutama kenderaan berat berisiko tinggi seperti lori tangki membawa bahan berbahaya pemeriksaan empat kali setahun mungkin lebih sesuai.
“Kekerapan ini memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan yang selamat untuk digunakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, beliau berkata, beberapa langkah proaktif boleh diperkenalkan kerajaan seperti mewajibkan teknologi keselamatan moden pada kenderaan berat.
“Antaranya penggunaan peranti penghad kelajuan, Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS) dan Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) supaya menambah ciri-ciri keselamatan terhadap kenderaan berat,” katanya.
Terdahulu, tujuh termasuk lima sekeluarga maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah treler dan bas pelancong di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara, pada Isnin.
Sementara itu, Presiden Institut Piagam Pengangkutan dan Logistik Malaysia (CILTM), Prof. Dr. Muhammad Zaly Shah pula berpandangan pemeriksaan lebih kerap akan membebankan industri dari segi kos, operasi dan produktiviti.
Bagaimanapun, katanya, kemalangan boleh dielakkan jika pemandu kenderaan berat bersikap lebih profesional, berhemah dan terlatih dalam pemanduan selamat.











