PETALING JAYA: Sebanyak 103 kertas siasatan pelbagai jenis kesalahan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) sejak Op Global dilancarkan pada 11 September lalu.
Ia membabitkan 98 kertas siasatan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) termasuk satu kertas siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 manakala satu lagi berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA).
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak 63 kertas siasatan telah selesai apabila 22 kes daripadanya telah dituduh manakala 41 kes diklasifikasikan tiada tindakan lanjut oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Katanya, terdapat baki 40 kertas siasatan masih belum selesai yang dalam tindakan pegawai penyiasat dan TPR.
“Sepanjang Op Global dijalankan, seramai 416 individu telah ditangkap membabitkan 189 lelaki dan 227 wanita dan sebahagian besar berusia 18 tahun ke atas.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 43 individu telah berjaya dituduh melibatkan pelbagai kesalahan termasuk 22 individu yang dituduh di bawah Seksyen 130v Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Razarudin, seramai 168 individu dijamin polis manakala 201 individu bebas tanpa syarat.
Jelasnya, dua individu diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi tujuan pengusiran dan dua lagi telah diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Islam negeri Kedah.
“Pihak polis masih meneruskan risikan dan siasatan manakala tangkapan akan dibuat sekiranya terdapat aduan serta maklumat yang boleh dipercayai atau syak yang munasabah yang diterima atau terkesan oleh pihak PDRM,” ujar beliau.
Ditanya sama ada kegiatan GISBH di negara ini telah lumpuh sepenuhnya, Razarudin berkata, ia merupakan satu organisasi terancang yang sudah lama bergiat dalam memanipulasi ahli-ahli dari sudut ideologi, pemesongan akidah dan eksploitasi golongan rentan terutama kanak-kanak dan wanita.
Ujar beliau, organisasi terbabit telah menjadikan pengikut–pengikutnya mempunyai ketaksuban yang tinggi terhadap pemimpin dan ajaran sesat yang dibawa.
“Justeru itu, usaha untuk melumpuhkan kegiatan kumpulan ini memerlukan satu pendekatan dan tindakan yang komprehensif dan berterusan pelbagai pihak yang berkepentingan.
“Oleh yang demikian, pihak kerajaan telah mengambil tindakan agresif dengan mewujudkan satu jawatankuasa bertindak melibatkan pelbagai agensi yang diselaraskan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha memastikan aktiviti kumpulan ini lumpuh sepenuhnya.
“Ia sama ada kegiatan yang menyalahi undang-undang jenayah mahupun menyalahi undang-undang syariah termasuklah usaha pemulihan terhadap ahli-ahli dan mangsa kanak-kanak yang diselamatkan,” katanya.
16 November lalu, akhbar ini melaporkan sebanyak 69 premis milik GISBH dikenal pasti di 15 buah negara membabitkan premis, restoran dan lain-lain.
Razarudin dilapor berkata, sebanyak empat negara melibatkan 40 premis telah disahkan oleh rakan strategik PDRM di luar negara melibatkan anggaran nilai aset adalah sebanyak RM52.4 juta.
“Selain itu, setakat ini, pihaknya telah membeku dan menyita harta sebanyak RM 23.95 juta serta pembekuan di bawah Seksyen 44(1)AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) berjumlah RM 17.15 juta.
“Kita turut menyita di bawah Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) dianggarkan RM6.76 juta membabitkan 28 kenderaan pelbagai jenis dengan nilai anggaran RM4.98 juta, dua bot dan tiga enjin (RM1.3 juta), 95 ekor haiwan dengan anggaran keseluruhan RM463,820.00, wang tunai berjumlah RM 16,850 serta dua utas jam tangan jenama Amazfit,” katanya.
Pada 23 Oktober lalu, seramai 22 orang ahli GISBH terdiri daripada 13 lelaki dan sembilan perempuan termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasiruddin Mohd. Ali didakwa tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen Selayang.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).










