PONTIAN: Festival D’Kukup 2.0 FDK 2.0) yang berlangsung di Taman Negara Johor Tanjung Piai (TNJTP) bermula hari ini dijangka mampu menarik kira-kira 20,000 pengunjung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan berkata, festival tiga hari berema ‘Penghujung Benua Asia Destinasiku’ itu bertujuan membantu mempromosikan pelancongan di kawasan DUN berkenaan seiring dengan acara Tahun Melawat Johor 2026 dengan TNJTP merupakan destinasi pelancongan utama bagi daerah Pontian.
Menurutnya, selain TNJTP, banyak lagi produk pelancongan di DUN Kukup seperti Kukup Golf Resort, inap desa, produk makanan dan cenderamata.
“Walaupun kita tidak dapat menghimpunkan semua mereka di FDK 2.0. namun saya yakin limpahan ekonomi akan turut diterima oleh pengusaha produk pelancongan di sekitar TNJTP yang sedia popular.
“Kita ada minuman yang viral seperti kopi Tmtenggek, mi tongkang, aiskrim dulang, Restoran Johor Riau, Tanjung Piai Resort dan asam pedas yang boleh menjadi persinggahan para pengunjung sepanjang festival berlangsung,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas meninjau persiapan penganjuran festival tersebut.
FDK 2.0 dianjurkan bersama oleh Pusat Khidmat DUN Kukup, Perbadanan Taman Negara (PTNJ), Pejabat Daerah Pontian serta agensi dan jabatan di peringkat daerah serta syarikat korporat.
Jefridin memberitahu, pihaknya juga dimaklumkan tempahan bagi inap desa telah penuh termasuk oleh para petugas dan usahawan yang membuka gerai pameran dan jualan di festival tersebut.
“Kami berharap mereka bersedia menerima kedatangan pelancong luar jangka terutamanya pada Sabtu dan Ahad dengan kedatangan 5,000 penunggang motosikal,” katanya.
Memang menjadi hasrat pihaknya supaya pengusaha pelancongan bersedia bagi menyambut Tahun Melawat Johor 2026 dengan menambah produk, menaik taraf kemudahan dan meningkatkan promosi.
Jefridin berkata, menerusi FDK 2.0, beliau juga ingin menyampaikan maklumat terkini kepada rakyat dengan menjemput jabatan dan agensi kerajaan mengadakan pameran termasuk Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ), institusi kewangan dan insurans, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan khidmat guaman.
“Ini peluang kepada orang kampung bagi mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan. Sepetti tahun lalu, penganjur juga tidak lupa mengadakan program pemeriksaan kesihatan percuma kepada orang ramai bagi mengesan awal penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi, kanser dan risiko penyakit jantung selain meningkatkan kesedaran dan pencegahan awal penyakit kronik,” katanya.
Justeru, beliau menjemout orang ramai, terutamanya warga Kukup dan Pontian untuk datang beramai-ramai menyertai dan menyaksikan pelbagai acara yang dianjurkan sempena FDK 2.0. – UTUSAN