MADINAH: Jemaah haji Malaysia dinasihatkan sentiasa menjaga adab ketika program ziarah dalam dan luar di sekitar Madinah terutamanya ketika mengunjungi Raudah di Masjid Nabawi.
Pengurus Ibadat Haji Madinah, Mohamad Zahir Hussin@Yusof berkata, para jemaah haji perlu menumpukan tumpuan ibadah ketika mengunjungi Raudah dan Masjid Nabawi kerana di sini terdapat Makam Nabi Muhammad SAW.
“Ketika diberi peluang mengunjungi Raudah atau Masjid Nabawi jagalah tutur kata kita. Janganlah kita bertolak-tolak apabila diberi peluang. Kalau masuk ke dalam Raudah itu masing-masing berlari-lari itu okay lagi, tetapi jangan menolak, jangan mengambil hak orang lain.
“Antara perkara-perkara yang menganggulah (ibadat) pada era sekarang ini adalah telefon bimbit, jadi jemaah haji ini dia asyik (sibuk telefon bimbit), sepatutnya apabila dah ada peluang dalam Raudah itu teruslah solat sunat dua rakaat. Kemudian berdoalah untuk diri sendiri, serta membaca doa dikirimkan waris-waris kita.
“Ini dia masuk dalam Raudah itu dia lebih daripada wartawan, mengalahkan wartawan asyik ambil video selepas itu bila orang suruh keluar baru dia kelam-kabut jadi saya rasa telefon bimbit itu kita simpanlah,” katanya pada sidang akhbar baru-baru ini.
Raudah merupakan suatu tempat antara makam Nabi Muhammad dan mimbar yang digunakan baginda untuk berkhutbah selain merupakan kawasan paling mustajab berdoa.
Selain itu, Mohamad Zahir, Raudah juga kawasan yang amat terhad dan setiap jemaah haji yang hadir hanya diberi peluang masuk sekali dalam tempoh setahun melalui aplikasi Nusuk.
“Disebabkan tempat yang terhad itu, rakyat Arab Saudi sendiri turut hanya diberi sekali peluang dalam tempoh 365 hari jadi apatah lagi jemaah haji dan umrah. Pastikan kita menepati masa ditetapkan apabila diberi peluang nanti.
“Meskipun Raudah ini tempat istimewa, itu bukan bermakna apabila seseorang itu tidak dapat memasuki Raudah disebabkan wanita yang keuzuran, masalah kesihatan dan sebagainya dia tidak mendapat haji mabrur. Tiada hadis mengatakan begitu cuma jangan jadikan alasan tersebut untuk kita lemah mengerjakan haji,” jelas beliau.
Mohamad Zahir berkata, jemaah Malaysia diberikan maklumat untuk menziarahi Raudah ini di mana bagi setiap kumpulan KT selepas mendapat Tasreh atau kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi.
Katanya, pihak Tabung Haji (TH) juga telah menyediakan program-program ibadat dan aktiviti ziarah dalam di sekitar Masjid Nabawi dan ziarah luar kepada jemaah haji Malaysia di Madinah. – UTUSAN











