BEIRUT: Israel menyerang selatan Beirut buat kali ketiga sejak gencatan senjata rapuh pada 27 November lalu, mendorong Presiden Lubnan, Joseph Aoun menggesa penjaminnya, Perancis dan Amerika Syarikat (AS) campur tangan.
Wartawan AFP melaporkan melihat kepulan asap dari bangunan di kawasan kejiranan Hadath selepas serangan dilancarkan kelmarin.
Terdahulu, tentera Israel mengeluarkan amaran kepada orang awam supaya mengosongkan kawasan kejiranan yang padat penduduk itu.
“Amaran segera kepada mereka yang berada di kawasan selatan Beirut, terutama kejiranan Hadath, sesiapa yang berada di bangunan ditandakan merah dalam peta serta bangunan sekitar, adalah berhampiran kemudahan Hezbollah.
“Anda diminta untuk berpindah,” kata jurucakap tentera, Avichay Adraee dalam hantaran di X.
Presiden Aoun mengecam serangan itu sebagai satu lagi pencabulan terhadap gencatan senjata, sekali gus menggesa Perancis dan AS memaksa menghentikan serangan.
Beliau mendesak kedua-dua negara yang berperanan selaku penjamin perjanjian gencatan senjata untuk memikul tanggungjawab tersebut.
KUBU KUAT HEZBOLLAH
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa, serangan itu menyasarkan bangunan digunakan Hezbollah untuk menyimpan peluru berpandu.
“Atas arahan Perdana Menteri (Netanyahu) dan Menteri Pertahanan, Israel Katz, tentera menyerang infrastruktur di Beirut, di mana peluru berpandu Hezbollah disimpan,” kata kenyataan pejabat itu.
Dalam kenyataan berasingan, tentera turut mendakwa serangan di tapak selatan Beirut, merupakan kubu kuat kumpulan disokong Iran itu.
“Penyimpanan peluru berpandu di tapak infrastruktur ini merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap persefahaman antara Israel dan Lubnan, dan mengancam keselamatan (negara haram) serta orang awamnya,” dakwa tentera.
Pejabat Netanyahu menegaskan, Israel tidak akan membenarkan Hezbollah menjadi lebih kuat dan mencetuskan ancaman kepada negara haram itu.
“Daerah Dahiyeh di Beirut tidak akan dijadikan tempat perlindungan selamat untuk organisasi pengganas Hezbollah.
“Kerajaan Lubnan memikul tanggungjawab secara langsung untuk mencegah ancaman ini,” kata kenyataan itu.
KEGANASAN BERULANG
Penyelaras khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Lubnan, Jeanine Hennis-Plasschaert menggesa semua pihak menghentikan sebarang tindakan yang boleh melemahkan lagi gencatan senjata.
“Serangan (kelmarin) di selatan Beirut menimbulkan panik dan ketakutan terhadap kemungkinan berlaku semula keganasan dalam kalangan mereka yang mengharapkan keadaan kembali normal.
“Kami menggesa semua pihak untuk menghentikan sebarang tindakan yang boleh melemahkan lagi persefahaman mengenai pemberhentian permusuhan,” katanya.
Pasukan pengaman PBB di Lubnan turut mempunyai peranan dalam jawatankuasa pemantauan gencatan senjata, bersama Perancis, AS serta kerajaan Israel dan Lubnan.
Serangan pada Ahad terhadap selatan Beirut bukan satu-satunya operasi Israel terhadap sasaran di dalam Lubnan.
Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan, satu serangan dron Israel di bandar sempadan Halta menyebabkan seorang terbunuh.
Media Lubnan turut melaporkan seorang pekerja ladang ayam terkorban, namun Israel mendakwa pasukannya membunuh anggota Hezbollah.
Israel terus melancarkan serangan di Lubnan meskipun terdapat gencatan senjata dimeterai pada November lalu, bertujuan menghentikan lebih setahun permusuhan dengan Hezbollah.
Di bawah perjanjian itu, Hezbollah sepatutnya mengundurkan pejuang di utara Sungai Litani dari sempadan Israel dan menarik balik semua infrastruktur ketenteraan yang masih berbaki di kawasan tersebut.
Israel juga ditetapkan mengundur semua tentera dari selatan Lubnan, namun melanggar perjanjian dan masih berada di lima lokasi yang dianggap ‘strategik’.










