PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), anak syarikat kumpulan MMC menganjurkan satu program latihan untuk pemandu pengangkut kenderaan yang bertujuan meningkatkan keselamatan dan kecekapan operasi dalam pengendalian serta pengangkutan kenderaan elektrik (EV).
Program dengan kerjasama Center for Logistics Leadership in Business (CLLB) Sdn. Bhd. dan KPX Sdn. Bhd. (KPX) itu dirangka untuk membekalkan pengetahuan asas dan kemahiran praktikal kepada pemandu pengangkut kenderaan bagi memastikan pengendalian EV dapat dilakukan dengan selamat dan cekap.
Kumpulan pertama program ini selama sehari itu menarik penyertaan seramai 22 orang peserta yang terdiri daripada pemandu dan penyelia dari lima syarikat pengangkut kenderaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelancaran program ini sangat tepat pada masanya dan amat dialu-alukan.
“Ketika kita mempercepatkan penggunaan EV di Malaysia, adalah penting untuk menyediakan industri dan tenaga kerja bagi menghadapi cabaran logistik berkaitan, khususnya dalam memastikan pengangkutan EV dari pelabuhan ke bilik pameran dan pengguna dilakukan secara selamat dan berkesan,’ katanya dalam ucapan pada majlis tersebut.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Elektrik dan Bateri (Kawalseliaan Kendiri Industri) (Garis Panduan EVBM) yang dilancarkan pada 11 Oktober 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif MMC Port Holdings Sdn. Bhd., Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, setelah terlibat secara langsung dalam pembangunan Garis Panduan EVBM sejak awal, pihaknya amat berbesar hati melihat inisiatif ini diperluaskan melalui pelancaran program latihan ini.
“Saya yakin Northport akan terus bekerjasama erat dengan kementerian dan rakan strategik bagi mencapai matlamat mewujudkan ekosistem EV yang selamat dan mampan.
“Program ini merangkumi topik penting termasuk risiko berkaitan EV, asas mekanik EV, status pengecasan, risiko kebakaran, prosedur pemuatan dan pemunggahan selamat, teknik mengikat dan mengunci, pemeriksaan pra-perjalanan dan amalan pemanduan selamat.
“Komponen praktikal turut disertakan bagi membolehkan para peserta memperoleh pengalaman langsung dalam mengaplikasikan prosedur keselamatan dan amalan terbaik,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Fakhrul Azhar Tajudin berkata, program ini menawarkan kurikulum menyeluruh yang menggabungkan latihan teori dan praktikal untuk memastikan peserta benar-benar dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran penting dalam pengendalian EV.
“Melalui kerjasama kami bersama CLLB dan KPX, inisiatif ini mencerminkan komitmen kami dalam memajukan serta menyokong ekosistem logistik EV,” katanya.
Program Latihan Pemandu Pengangkut Kenderaan bagi Pengendalian EV ini telah diselaraskan oleh Northport melalui pusat latihannya, Northport International Centre of Excellence (NICE), dengan kerjasama CLLB dan KPX.-UTUSAN










