DAMSYIK: Seorang bekas tahanan dari Lubnan mendedahkan pengalaman ngeri diseksa selama 18 tahun sepanjang berada di penjara rejim Bashar al-Assad di Syria.
Muaz Merab, 50, berkata kekejaman dan penyiksaan di ‘penjara neraka’ Assad membuatkan kebanyakan tahanan terpaksa menerima tuduhan terhadap mereka tanpa membaca dakwaan tersebut.
Beliau yang ditahan di Syria pada 2006 menghabiskan lebih satu pertiga daripada hidupnya di penjara bawah tanah Syria.
Muaz berkata, beliau ditahan di Douma, sebuah daerah di Damsyik, oleh pasukan rejim Assad ketika dalam perjalanan pulang ke Lubnan dari Iraq, ketika bekerja dalam sektor akhbar semasa pencerobohan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iraq.
Beliau memperincikan pelbagai kaedah penyiksaan yang digunakan oleh pengawal dan penyiasat seperti dipukul, dipaksa berbogel, intimidasi dan penghinaan.
“Salah satu alat yang mereka gunakan untuk memukul kami ialah kabel elektrik. Setiap kali dilibas, daging kami terkoyak dan tubuh kami berdarah.
“Antara kaedah penyeksaan adalah kaedah roda. Tangan dan kaki diikat, dan mereka kemudian diikat ke dalam roda sebelum dipukul,” katanya.
Muaz turut mengesahkan kaedah penyiksaan yang didokumentasikan di penjara Assad adalah sepenuhnya tepat dengan tahap penyiksaan dianggap teramat dahsyat sehingga memaksa tahanan menerima apa sahaja tuduhan dikenakan terhadap mereka.– ANADOLU










