KINSHASA: Penyakit misteri dilaporkan melanda kawasan pedalaman Republik Demokratik Congo (DRC), yang didakwa meragut sekurang-kurangnya 143 nyawa sejak 10 hingga 25 November lalu.
Para saintis masih belum dapat mengenal pasti penyakit tersebut, namun menyenaraikan beberapa gejala serius yang dialami mangsa sebelum kematian, termasuk demam, sakit kepala, batuk dan anemia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerima sampel pesakit untuk ujian lanjut, tetapi masih belum bersedia mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai situasi itu.
Menurut laporan Associated Press, kes kematian berlaku di zon kesihatan Panzi, wilayah Kwango dan pakar kesihatan bimbang keadaan boleh bertambah buruk memandangkan bekalan perubatan di kawasan pedalaman amat terhad.
Seorang pakar tempatan melaporkan, penyakit itu kelihatan lebih banyak menjangkiti wanita dan kanak-kanak, manakala lelaki adalah kumpulan pesakit paling sedikit, namun terlalu awal untuk membuat kesimpulan atau laporan trend secara rasmi.
Ketika ini, DRC juga berdepan wabak virus Mpox yang mencatatkan 47,000 kes disyaki dan lebih 1,000 kematian.
Di tengah-tengah kebimbangan global, virus Marburg, yang digelar penyakit mata berdarah kerana salah satu gejalanya, meragut 15 nyawa di Rwanda dan dipercayai menjangkiti ratusan orang.
Virus ini membawa risiko kematian sehingga 50 peratus dan dikhuatiri merebak ke negara Afrika lain, yang juga bergelut dengan wabak.
Susulan penularan wabak Marburg, Mpox dan Oropouche, Travel Health Pro mengeluarkan amaran perjalanan kepada warga Britain yang ingin mengunjungi 17 negara Afrika yang terjejas termasuk DRC, Burundi, Uganda dan Kenya.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan terhadap kesiapsiagaan global dalam menangani wabak baharu yang muncul di tengah cabaran sistem kesihatan di negara terjejas. -AGENSI










