PUTRAJAYA: Tidak timbul soal balas dendam berhubung laporan dikeluarkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pembangkang supaya tidak memainkan isu balas dendam untuk memburukkan imej kerajaan.
Beliau menegaskan bahawa pasukan petugas khas ber kenaan ditubuhkan pada 2021 ia itu ketika mereka (pembangkang) berada di posisi kerajaan sebelum ini.
“Pasukan khas itu dibuat sebelum saya pun. Itu masa Ismail Sabri (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) di mana Menterinya termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“Dia (mereka) ada buat (pasukan petugas khas) dan finding (dapatan mengenai kes Batu Puteh) lebih teruk lagi. Jadi, tak usah main,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Darul Ulum, SMKA Putrajaya, Presint 11, di sini semalam.
Anwar pada masa sama mempersoalkan, jika apa yang dilakukan itu bersifat dendam, apakah pula bentuk tindakan yang dilakukan oleh pihak pembangkang ketika itu terutama ketika menubuhkan pasukan petugas khas.
Katanya, isu Batu Puteh ini adalah membabitkan kedaulatan dan wilayah negara ini.
“Ini soal wilayah dan mana boleh ada mana-mana negara yang mengizinkan mudah begitu serah. Jadi prinsipnya begitu.
“Saya tak cadang apa-apa (sebarang keputusan lanjut mengenai RCI Batu Puteh). Itu serah kepada Peguam Negara,” katanya.
Sebelum ini, pihak pembangkang menyifatkan laporan RCI Batu Puteh itu satu agenda politik dendam khususya terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sebelum ini juga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membuka pekung pembangkang apabila mendedahkan mereka turut bersetuju supaya pasukan petugas khas berkenaan isu Pulau Batu Puteh ditubuhkan ketika berada di posisi kerajaan sebelum ini.
Menurut Ahli Parlimen Pengerang itu, ia dilakukan ketika pembangkang menjawat jawatan menteri semasa Kabinet Perdana Menteri Kesembilan.
Media sebelum ini melaporkan, RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Dr Mahathir.
Prosiding diusulkan itu susulan Malaysia kehilangan Batu Puteh kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Dr Mahathir pada 2018 menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Perkara berkenaan antara yang disyorkan RCI berkenaan dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Sementara itu, jurucakap kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri mencadangkan kepada Peguam Negara untuk menyahklasifikasikan laporan akhir Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan kerajaan Persekutuan bagi menyemak isu dan tindakan perundangan berhubung kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil memaklumkan, perkara itu diputuskan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Jemaah Menteri pada hari ini telah membuat keputusan untuk mencadangkan kepada Peguam Negara untuk pertimbang menyahkelas ataupun diklasifikasi laporan akhir Pasukan Petugas Khas Batu Puteh.
“Ini adalah dua dokumen yang berbeza, yang telah dibentangkan dalam Parlimen adalah laporan RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) Batu Putih dan dalam laporan RCI itu ada juga merujuk kepada satu laporan (iaitu) Pasukan Petugas Khas Batu Puteh,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini semalam.
Pada 29 Oktober 2021, Kabinet bersetuju membentuk Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan terdiri daripada peguam tempatan yang mengendalikan kes berkenaan pada tahun 2016 hingga 2017, pengamal undang-undang, pakar pengukuran maritim serta wakil kementerian atau jabatan yang berkepentingan.
Pasukan itu ditubuhkan bagi menyemak semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan serta mengesyorkan opsyen terbaik mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan. – UTUSAN









