KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah meminggirkan Pas dan parti gabungan lain berhubung pelantikan jawatan-jawatan utama dalam Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin malah pernah mengadakan perbincangan dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai perkara tersebut.
Beliau berkata, pendekatan tersebut menunjukkan Muhyiddin selaku Pengerusi PN sentiasa mengamalkan rundingan dan amalan demokrasi untuk menjaga kepentingan semua parti dalam gabungan berkenaan.
“Sebelum Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PN, ada pertemuan empat mata antara Presiden Bersatu dan Presiden Pas.
“Sudah tentu ada perbincangan untuk menyelesaikan perkara berkaitan Pas (termasuk) kedudukan jawatan-jawatan utama Pas dalam PN dan hubungan kedua-dua parti,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dilaporkan berkata, jawatan-jawatan utama dalam PN tidak sepatutnya hanya dikuasai Bersatu sehingga meminggirkan parti lain terutama Pas dalam gabungan berkenaan.
Malah, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan turut berharap perbincangan bersama dapat dilakukan sebelum pelantikan baharu dibuat.
Mengenai pelantikan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Ketua Penerangan PN, Tun Faisal berkata, pelantikan dibuat mengambil kira kedudukan beliau sebagai Timbalan Presiden Bersatu sebelum ini.
Kata beliau, pertimbangan sama dibuat oleh Muhyiddin bagi pelantikan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN.
“Pelantikan dibuat bagi melicinkan urusan pentadbiran antara Bersatu, PN dan parti-parti komponen,” jelas beliau.
Mengenai pelantikan Datuk Seri Ronald Kiandee dan Datuk Dr. Radzi Jidin pula, Tun Faisal berkata, ia mengambil kira peranan penting penting mereka dalam Pilihan Raya Negeri Sabah dan memperkasa peranan Jawatankuasa Penerangan Bersatu di seluruh negara.










