BANGKOK: Majlis sambutan hari jadi seorang kanak-kanak di sebuah restoran di daerah Hatyai bertukar tragedi, apabila kedua ibu bapanya maut terkena tembakan pelanggan mabuk.
Insiden yang berlaku pada malam Ahad lalu di restoran Khrua Paowana di Jalan Nuan Kaew Uthit dipercayai tercetus selepas suspek seorang lelaki berusia 50-an, bergaduh dengan pelayan restoran berkenaan.
Polis berkata, saksi mengenal pasti suspek sebagai sukarelawan pertahanan daerah Hatyai, Akarapon Pamchamnong.
Kenyataan polis mendedahkan, suspek tiba di restoran itu untuk minum dan meninggalkan mejanya seketika untuk merokok.
Seorang pelayan yang menyangka suspek sudah beredar kemudian membersihkan meja dan minumannya sehingga tercetus perbalahan, termasuk dengan pemilik restoran.
Suspek kemudian beredar dan kembali semula ke restoran dan menyambung pertengkaran sebelum mengeluarkan pistol serta melepaskan tembakan berulang kali.
Dua pelanggan maut dalam insiden tersebut dikenali sebagai Sitthipong Siriphan, 48, dan isterinya, Orachon leankham, 45, selepas ditembak di kepala.
Kedua-dua mangsa berada di restoran tersebut untuk menyambut hari lahir anak lelakinya berusia 12 tahun.
Dua individu lain turut cedera, iaitu pemilik restoran Paowana Uttha, 46, yang terkena tembakan di kepala dan seorang lagi pelanggan, Suriya Supradit, 42, cedera di lengan kanan.
Suspek menyerah diri kepada polis, manakala lapan kelongsong peluru 9mm ditemukan di tempat kejadian.- AGENSI










