GABORONE: Lebih daripada 350 gajah yang mati dalam keadaan misteri di Delta Okavango, Botswana pada 2020 dipercayai berpunca daripada keracunan air, akibat alga biru-hijau beracun, menurut satu kajian baharu.
Kematian itu, disifatkan sebagai ‘bencana pemuliharaan’ oleh saintis, mencetuskan kebimbangan global apabila habitat gajah daripada pelbagai peringkat usia dilihat jalan berpusing sebelum rebah dan mati.
Bangkai pertama dikesan pada Mei dan Jun 2020 di timur laut Botswana, mencetuskan spekulasi seperti keracunan sianida atau wabak penyakit misteri.
Menurut penyelidik dari King’s College London, Davide Lomeo, insiden itu adalah kematian gajah yang paling banyak direkodkan tanpa mengetahui punca sebenar.
“Inilah sebabnya ia mendapat perhatian meluas,” katanya.
Kajian diterbitkan dalam jurnal Science of the Total Environment itu mendedahkan, alga beracun yang berkembang akibat perubahan iklim menjadi punca utama.
Dengan menggunakan data satelit, penyelidik menganalisis lokasi bangkai berbanding sumber air, kerana tiada sampel fizikal dapat diuji.
Pasukan penyelidik mendapati gajah berkemungkinan berjalan lebih 100 kilometer (km) dari sumber air tercemar dan mati dalam tempoh 88 jam selepas meminumnya.
Kajian melibatkan 3,000 kawasan air itu turut mendapati, perairan dengan peningkatan alga biru-hijau pada 2020 menunjukkan kepekatan bangkai yang tinggi.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan haiwan lain turut mati akibat fenomena itu, namun bangkai mereka mungkin tidak dikesan atau dimakan pemangsa. -AGENSI







