NEW YORK: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendedahkan jumlah kanak-kanak yang tinggal di zon konflik seluruh dunia meningkat dua kali ganda kepada hampir 19 peratus berbanding kira-kira 10 peratus pada 1990-an.
Menurut angka yang diterbitkan PBB, hampir satu daripada lima kanak-kanak dunia tinggal di kawasan terjejas konflik, dengan lebih 473 juta mengalami keganasan terburuk sejak Perang Dunia Kedua.
Agensi itu menegaskan, peningkatan mendadak dalam ancaman terhadap kanak-kanak akibat konflik tidak sepatutnya dianggap sebagai ‘norma baharu’.
Jumlah kematian selepas hampir 15 bulan perang Israel di Gaza dianggarkan melebihi 45,000 dan PBB mendedahkan 44 peratus daripadanya adalah kanak-kanak.
Di Ukraine, PBB mengesahkan lebih banyak kematian kanak-kanak dalam sembilan bulan pertama 2024 berbanding sepanjang tahun lepas, dan meramalkan peningkatan lebih tinggi pada 2025.
Manakala di Haiti, terdapat peningkatan 1000 peratus dalam jumlah insiden keganasan seksual terhadap kanak-kanak dilaporkan sepanjang tahun ini.
UNICEF menegaskan, kanak-kanak paling terkesan kekurangan zat makanan semasa perang, sebagaimana yang berlaku di Sudan dan Gaza.
“2024 menjadi tahun terburuk yang pernah dicatatkan bagi kanak-kanak dalam sejarah konflik oleh UNICEF.
“Kanak-kanak yang membesar di zon konflik lebih cenderung untuk tidak bersekolah, kekurangan zat makanan dan kerap dipaksa berpindah,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell.
Berdasarkan data terkini daripada tahun 2023, PBB mengesahkan rekod 32,990 pelanggaran serius terhadap 22,557 kanak-kanak.
Ia adalah angka tertinggi sejak Majlis Keselamatan PBB (UNSC) memerintahkan pemantauan kesan peperangan terhadap kanak-kanak dunia hampir 20 tahun lalu.– AGENSI










