BEIRUT: Penganalisis menjangkakan perang di Lubnan akan berlanjutan dan bertambah sengit dalam beberapa bulan akan datang, memperlihatkan taktik Israel mula bermain ‘tarik tali’ terhadap usaha gencatan senjata dengan kumpulan Hezbollah.
Pada 6 November lalu, jeneral tertinggi Israel, Herzi Halevi memberitahu wartawan, tentera rejim sedang merangka rancangan untuk memperluaskan kempennya menentang Hezbollah.
Pada masa sama, beliau mendakwa Israel sedang meningkatkan usaha diplomatik untuk mendapatkan gencatan senjata.
DIPLOMASI PURA-PURA
“Ini adalah diplomasi pura-pura yang sering digunakan Israel. Rejim Israel membuat kenyataan ini untuk cuba meletakkan kesalahan kepada Hezbollah,” kata Felo Kanan Pusat Asia Barat Carnegie di Beirut, Mohanad Hage Ali.
Beliau adalah seorang daripada ramai penganalisis yang percaya Israel hanya berpura-pura untuk berdiplomasi ketika ia bersiap sedia memperluaskan perangnya terhadap Lubnan.
Setakat ini, perang itu sudah memusnahkan berpuluh-puluh kampung sempadan, membunuh lebih 3,000 orang dan menghalau 1.2 juta orang dari rumah mereka.
Israel diketahui menggunakan strategi serupa di Gaza ketika menyertai rundingan gencatan senjata dengan Hamas selama lebih setahun.
Setiap kali perjanjian hampir dicapai, Israel akan menukar syaratnya walaupun cadangan asal yang dikemukakan itu sudah diperakui oleh sekutu utama, Amerika Syarikat (AS).
Israel kemudian akan menyalahkan Hamas kerana tidak menerima syarat baharu itu, sambil memperluaskan serangan genosid di Gaza, yang sudah membunuh lebih 43,000 orang dan menyebabkan hampir keseluruhan 2.3 juta penduduknya hilang tempat tinggal.
“Israel kini membawa buku permainan yang sama ke Lubnan. Meminta gencatan senjata adalah sebahagian daripada taktik pesanan yang dihantar kepada penduduk Lubnan.
“Tetapi kemudian, rejim ini akan menggunakan ‘skrip sama’, mendakwa, mereka mahukan keamanan, tetapi Hezbollah yang tidak menginginkannya,” jelas Mohanad kepada Al Jazeera.
SYARAT TAK MASUK AKAL
Pada 30 Oktober lalu, penyiar awam Israel menerbitkan cadangan gencatan senjata oleh kerajaan AS yang bocor dan dipercayai mencerminkan tuntutan Israel.
Cadangan itu menggesa Israel mengundurkan tenteranya dari Lubnan dalam minggu pertama gencatan senjata selama 60 hari dan meminta tentera Lubnan untuk ‘melucutkan senjata’ Hezbollah.
Namun, ia juga akan membenarkan Israel untuk terus menyerang sasaran di selatan Lubnan sebagai tindak balas terhadap ancaman masa depan.
Tekanan maksima itu jelas tidak realistik dan tidak boleh diterima Lubnan kerana ia berisiko menyebabkan perang saudara dan memerlukan Hezbollah menyerah sepenuhnya.
Tetapi Muhanad percaya Israel tidak mempunyai sebarang niat untuk mengurangkan syaratnya.
Menurut Pakar Hubungan Antarabangsa Universiti Saint Joseph Lubnan, Prof. Madya Karim Emile Bitar, syarat Israel itu sekadar untuk menyukarkan lagi gencatan senjata dengan Hezbollah.
“Perbincangan mengenai gencatan senjata nampaknya tidak serius kerana syarat-syaratnya adalah pengunduran sepenuhnya tanpa syarat oleh Hezbollah.
“Saya tidak nampak sama ada Hezbollah atau Iran yang menjadi penyokong utamanya akan bersetuju dengan mudah untuk mengaku kalah dalam peperangan ini,” katanya.
PENDIRIAN HEZBOLLAH
Menurut Pakar Hezbollah di Badan Pemikir Majlis Atlantik, Nicholas Blanford, kumpulan pejuang itu tidak mungkin menyerah malah bersedia memerangi Israel untuk tempoh yang panjang.
“Ia sangat penting dari perspektif Hezbollah bahawa mereka hanya akan keluar dengan perjanjian yang tidak kelihatan seperti Israel telah menang
“Setiap kali kumpulan itu mengalami tamparan hebat, ia menyeru penyokongnya untuk terus bersabar dan tabah, malah mungkin akan mengeluarkan seruan yang sama kali ini.
“Kebanyakan penyokongnya adalah daripada komuniti Syiah Lubnan yang sudah berdepan pelbagai cabaran kehilangan tempat tinggal, mata pencarian, kawan dan orang tersayang,” tambahnya.
Blanford memaklumkan, Hezbollah masih berperang, melancarkan peluru berpandu ke utara Israel dan berani berhadapan dengan tentera Israel yang membuat pencerobohan ke wilayah Lubnan.
Pada pandangannya, Hezbollah akan ‘mengalu-alukan’ rancangan Israel untuk meluaskan pencerobohan darat supaya mereka boleh menggunakan kenderaan berperisai daripada berarak ke wilayah Lubnan dengan hanya berjalan kaki.
Beliau menjelaskan, kenderaan berperisai dan kereta kebal terlalu berat untuk dipandu melintasi kawasan berbukit di selatan Lubnan, menyebabkan ia perlu ditinggalkan di lembah dan menjadikan mereka terdedah kepada bahan letupan serta serangan hendap dari kawasan bukit.










