ALOR SETAR: Seminggu Siti Rohani Saad, 37, hilang selepas motosikalnya ditemukan di Sungai Titi Haji Idris, di sini namun keluarga wanita itu tetap menaruh harapan dia akan kembali.
Abang Siti Rohani, Saiful Saad, 48, berkata, mereka sekeluarga melakukan pelbagai ikhtiar supaya wanita berkenaan ditemukan dengan selamat.
“Sejak Jumaat lepas kami tidak tidur lena. Macam-macam ikhtiar kami buat solat hajat, bacaan Yasin di rumah hampir setiap malam dengan harapan adik kami akan kembali walaupun macam-macam cerita kami dengar tetapi kami menaruh harapan Siti Rohani akan kembali selamat,” katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Lanjut di sini hari ini.
Menurut Saiful yang juga seorang pesawah, walaupun kebuntuan dengan misteri kehilangan Siti Rohani namun keluarganya tidak akan berputus asa berusaha dan berdoa.
Dalam pada itu menurut kakak Siti Rohani, Naziroh Saad, 50, kehilangan Siti Rohani yang sangat rapat dengannya itu sangat memberi kesan kepada mereka sekeluarga.
“Tahun lepas saya kehilangan anak bongsu, Aqil, 13, yang menghidap ketumbuhan dalam otak dan sekarang Siti Rohani hilang entah ke mana. Walau di mana dia berada sekarang atau siapa sahaja yang mengambilnya saya harap mereka bawa dia pulang dengan selamat,” katanya.
Bercerita tentang hari-hari terakhir sebelum kehilangan Siti Rohani, kata Naziroh, adiknya itu kelihatan sugul dan pendiam tidak seperti biasa.
Menurut Naziroh, Siti Rohani yang sudah enam tahun bekerja di sebuah restoran dekat Jalan Pegawai, Alor Setar juga seorang yang peramah dan tidak mempunyai musuh.









