Serangan udara Israel bunuh 12 paramedik, sukarelawan Lubnan

Serangan udara Israel bunuh 12 paramedik, sukarelawan Lubnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Serangan udara Israel terhadap beberapa bandar di daerah Tyre di selatan Lubnan kelmarin, mengakibatkan 12 paramedik dan sukarelawan pertahanan awam terbunuh serta mencederakan tiga yang lain.

Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan, pesawat tempur Israel menyasarkan bandar Deir Qanoun Ras Al-Ain di daerah Tyre, mengorbankan enam anggota Pengakap Islam yang merupakan sukarelawan dalam operasi perubatan kecemasan dan pertahanan awam, serta seorang paramedik daripada Persatuan Kesihatan Islam.

Serangan di Deir Qanoun Ras Al-Ain juga mengakibatkan seorang orang awam terbunuh dan 12 yang lain cedera.

Kementerian itu turut melaporkan serangan udara terhadap bandar Ain Baal di Tyre mencederakan tiga lagi anggota Pengakap Islam.

Lima anggota Pengakap Islam turut dilaporkan maut dalam serangan di bandar Hanouiyeh di Tyre, menurut Agensi Berita Kebangsaan Lubnan.

Kementerian Kesihatan mengecam tindakan Israel yang terus menyasarkan paramedik sebagai “jenayah perang berterusan yang tidak dihalang oleh masyarakat antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, kementerian turut melaporkan serangan udara Israel di kawasan kejiranan Al-Midan di Nabatieh mencederakan 12 orang.

Kempen serangan udara besar-besaran oleh Israel terhadap Lubnan telah berlarutan sejak akhir September, kononnya menyasarkan kedudukan Hezbollah dalam peningkatan konflik rentas sempadan yang berterusan sejak permulaan perang di Gaza.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan, lebih 3,100 orang telah terkorban dan lebih 13,900 cedera dalam serangan Israel sejak Oktober 2023 sejak rejim Zionis melancarkan serangan ke selatan Lubnan pada 1 Oktober lalu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN