GAZA: Laporan jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan peperangan Israel di Gaza adalah konsisten dengan ciri-ciri pembunuhan beramai-ramai.
Laporan yang diterbitkan Jawatankuasa Khas PBB untuk Menyiasat Amalan Israel, turut menunjukkan negara itu menggunakan kebuluran sebagai kaedah peperangan, mengakibatkan korban awam beramai-ramai dan mencetus keadaan yang mengancam nyawa bagi rakyat Palestin.
“Sejak permulaan perang, pegawai Israel secara terbuka menyokong dasar yang melucutkan rakyat Palestin daripada keperluan asas untuk mengekalkan kehidupan iaitu makanan, air dan bahan bakar.
“Kenyataan-kenyataan ini bersama gangguan sistematik terhadap bantuan kemanusiaan yang menyalahi undang-undang menjelaskan niat Israel untuk menggunakan bekalan menyelamatkan nyawa demi keuntungan politik dan ketenteraan,” jelas laporan itu.
Laporan terkini PBB menggambarkan perkara sama yang dinyatakan oleh Pelapor Khas PBB mengenai wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese ketika beliau membuat kesimpulan terdapat ‘alasan munasabah’ untuk mempercayai Israel melakukan genosid di Gaza.
Laporan itu merangkumi sembilan bulan pertama perang Israel di Gaza, susulan serangan diketuai Hamas di selatan Israel pada Oktober 2023 dengan dianggarkan 1,139 orang terbunuh dan lebih 200 ditawan.
Laporan itu juga menegaskan, walaupun menerima rayuan PBB berulang kali serta perintah mengikat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB, Israel terus mengenakan hukuman kolektif ke atas penduduk Palestin.
“Kempen pengeboman Israel yang meluas di Gaza telah menghancurkan perkhidmatan penting dan melepaskan malapetaka alam sekitar yang akan memberi kesan kesihatan yang berpanjangan.
“Menjelang awal 2024, lebih 25,000 tan bahan letupan bersamaan dengan dua bom nuklear digugurkan di Gaza, menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan keruntuhan sistem air, sanitasi, pertanian dan pencemaran toksik,” kata laporan itu.
Siasatan Al Jazeera mendapati, dalam tempoh satu tahun peperangan, jumlah bahan letupan yang dijatuhkan di Gaza meningkat kepada 75,000 tan, menghasilkan lebih 42 juta tan serpihan.
Pada masa sama, pengeboman itu memusnahkan 114 hospital dan klinik serta membunuh lebih 986 pekerja perubatan, termasuk 165 doktor dan 260 jururawat.
Seramai 184 pembantu kesihatan, 76 ahli farmasi, 300 kakitangan pengurusan serta 85 pekerja Pertahanan Awam Palestin yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat turut menjadi korban.
Laporan itu juga menimbulkan kebimbangan serius mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) Israel digelar Lavender yang membunuh bukan sahaja pejuang Hamas tetapi juga orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak.










