PRN Johor: BN dijangka gerak solo

PRN Johor: BN dijangka gerak solo

PENGANALISIS politik berpendapat Pakatan Harapan (PH) masih gagal menarik sokongan penyokong Barisan Nasional (BN) di Johor walaupun kedua-duanya sudah menjalin kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis politik menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Felow Kanan Akademi Nusantara, Dr. Azmi Hassan berpandangan, BN diyakini tidak akan mensia-siakan kemena­ngannya pada PRN Johor 2022.

Menurutnya, ketika itu BN memenangi dua pertiga iaitu 40 daripada 56 keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

“Kemenangan tersebut membuktikan majoriti rakyat Johor yakin dengan pimpinan BN. Mereka melihat BN sebagai parti politik yang sekian lama berpengalaman dalam pentadbiran dan pembangunan negara.

“Pakatan Harapan (PH) masih tidak boleh menarik sokongan penyokong BN walaupun menjalin kerjasama dengan parti itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, katanya, walaupun dijangka bergerak solo, BN diramal berkompromi de­ngan parti-parti sekutu lain untuk melepaskan beberapa kerusi.

“Bagi mengekalkan hubungan bersama terutama gabungan sebagai Kerajaan Perpaduan, BN mungkin bertoleransi menyerahkan sekurang-kurangnya dua atau tiga kerusi untuk ditan­dingi oleh PH,” katanya.

Jelas beliau, penyerahan beberapa kerusi tersebut kepada PH bertujuan mewujudkan persefahaman sekali gus mengelakkan pertembungan di hampir semua kerusi.

Baru-baru ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, BN masih belum mengumumkan untuk mengadakan kerjasama dengan PH dalam PRN Johor, namun akan berkolaborasi dalam PRN Sabah akan datang.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, sekiranya BN ingin bergerak solo pada PRN Johor, parti tersebut perlu bekerja keras.

“Hubungan PH dan BN membentuk Kerajaan Perpaduan membangkitkan ketidakpuasan hati sesetengah penyokong BN. Tindakan BN tersebut menyebabkan penyokong beralih ke parti lain bagi menunjukkan mogok terhadap BN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN