PORT-AU-PRINCE: Ahli perniagaan, Alix Didier Fils-Aime mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu Haiti bagi menggantikan Garry Conille, semalam.
Fils-Aime berjanji untuk memulihkan keselamatan negara yang dilanda krisis itu selepas Perdana Menteri terdahulu disingkirkan setelah hanya lima bulan memegang jawatan.
Beliau mengaku sedar dengan kesukaran dihadapi Haiti, namun berjanji untuk meletakkan seluruh tenaga, kemahiran dan patriotisme untuk berkhidmat demi kepentingan negara.
“Kita mempunyai satu tempoh peralihan dengan banyak kerja yang perlu dilakukan, tugas penting pertama, yang menjadi syarat kejayaan adalah memulihkan keselamatan,” katanya dalam bahasa Perancis.
Perdana menteri yang tidak dipilih dan majlis peralihan sembilan anggota berdepan keganasan kumpulan samseng serta diberi tugas untuk menyediakan laluan pilihan raya presiden tahun depan.
Terdahulu, Conille mempersoalkan kuasa majlis untuk memecatnya dan pertikaian berkemungkinan memburukkan lagi krisis politik di Haiti, di mana jawatan presiden masih kosong sejak pembunuhan Jovenel Moise pada 2021.
Negara ini juga tidak mempunyai Parlimen yang berfungsi dan pilihan raya terakhir diadakan pada 2016.
Negara Caribbean tersebut sudah lama dibelenggu ketidakstabilan politik, kemiskinan tegar, bencana alam dan keganasan kumpulan samseng.
Namun, keadaa semakin buruk pada hujung Februari lalu apabila kumpulan bersenjata melancarkan serangan di Port-au-Prince, dengan mendakwa mahu menggulingkan Perdana Menteri ketika itu, Ariel Henry.- AFP










