Penunggang motosikal maut rempuh kontena jatuh treler - Utusan Malaysia

Penunggang motosikal maut rempuh kontena jatuh treler

KEADAAN kontena yang tertanggal dari lori treler selepas hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbabas ke laluan bertentangan dalam kemalangan di kilometer 69.5 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara) pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang maut mana­kala dua cedera apabila sebuah treler terbabas merempuh pembahagi jalan menyebabkan kontena dibawanya terjatuh di laluan bertentangan di Kilometer 69.5 Lebuh Raya Utara Selatan (Arah Utara) pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd. Azmi Husin berkata, kejadian pada pukul 7.40 pagi itu menyebabkan seorang penunggang motosikal maut manakala seorang pemandu kereta serta penumpang hadapannya cedera parah.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas lori treler yang datang dari arah Utara ke Johor Bahru itu hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan menyebabkan lori treler serta kontena yang penuh dengan muatan baja tertanggal dan terjatuh ke laluan dari arah Selatan.

“Pada masa sama, sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha jenis MT09 ditunggang lelaki berusia 33 tahun dan kereta jenis Honda Civic dipandu lelaki berumur 25 tahun bersama isterinya, 26 tahun serta seorang bayi lelaki berumur satu tahun dari arah Selatan tidak sempat memberhentikan kenderaan masing-masing sebelum me­rempuh kontena berkenaan.

“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala manakala pemandu kereta serta isterinya mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan namun anak mereka tidak cedera,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semua mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat dan rawatan.

Nik Mohd. Azmi berkata, pemandu lori kontena berusia 40 tahun yang tidak mengalami sebarang kecederaan ditahan untuk ujian saringan air kencing dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN