KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu menambah baik kaedah pengurusan dan pengiraan undi bagi mengelakkan ‘kekecohan’ pada pemilihan parti, Sabtu ini.
Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia penting bagi memastikan sistem dan pengurusan pemilihan bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) berjalan lebih lancar berbanding pemilihan parti di peringkat sayap yang menerima banyak bantahan.
Menurut beliau, sistem pengurusan yang baik daripada JPP akan menjadi indikator dalam menentukan pemimpin yang akan membawa survival Bersatu serta mendepani cabaran lebih besar khususnya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
“Saya menghargai segala usaha dan kerja keras pihak JPP dalam menggalas tugas dan tanggungjawab diamanahkan. Namun terdapat beberapa perkara perlu ditambah baik pada masa akan datang dan yang lebih penting pada Sabtu ini. Kita juga menerima pandangan daripada peringkat akar umbi supaya JPP memperbaiki kaedah ataupun prosedur tugas dan tanggungjawab akan datang.
“Saya yakin JPP di bawah kepimpinan Datuk Azim Zabidi, dan kita harap pandangan itu dapat diterima dan melihat pada setiap pandangan yang dilontarkan ahli atau calon yang bertanding sewaktu pemilihan sayap berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menngikut Perlembagaan parti di bawah fasal 14.9 menyebut JPP berperanan menentukan peraturan untuk melaksana, mengawal dan menyelia pemilihan jawatan-jawatan tertinggi parti yang dipilih di semua peringkat Persidangan Bahagian termasuk Sayap-sayap Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu.
Namun, apa yang berlaku pada pemilihan sayap Bersatu melibatkan Srikandi Muda, Srikandi dan Armada, pengumuman mengenai keputusan pemilihan itu tidak diumumkan pada hari sama sehingga terdapat keputusan yang ditangguhkan dua hari, sekali gus ia menimbulkan persoalan dan bantahan banyak pihak.
Malah, perkara itu juga dikatakan tiada sebarang maklum balas diterima daripada Jawatankuasa Pengurusan Parti mahu pun JPP sendiri.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, beliau memahami pemilihan Bersatu 2024-2027 hanya kali kedua diadakan, sekali gus menjelaskan adalah ‘mustahil’ dapat berjalan dengan lancar.
“Kita adalah parti baharu, jadi untuk berjalan dengan sempurna..ia agak mustahil dan pasti akan berlaku ‘cacat celanya’,” kata beliau. – UTUSAN










