MELAKA: Seorang pemandu kren warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat lima kilogram, bulan lalu.
Tertuduh, Darmawan, 39, mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kesalahan mengedar dadah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 5,054 gram di tepi pesisir pantai belakang Impression City, Kota Shahbandar dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 5.50 pagi pada 28 Oktober 2024.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tarikh baharu untuk serahan laporan kimia manakala tertuduh diwakili peguam K. Shareveen.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 2 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kegiatan seorang transporter warga Indonesia menyeludup keluar bekalan dadah ke negara jiran melalui laluan laut tumpas selepas diberkas di pesisir pantai berhampiran Kota Syahbandar.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek lelaki itu diberkas bersama lima kilogram syabu yang dibawa dalam sebuah beg galas.










