PETALING JAYA: Agensi pelancongan Nuh Travel & Tours Sdn. Bhd. menyasarkan pembukaan cawangan di semua negeri bermula November ini.
Ketua Pegawai Operasi Nuh Travel & Tours, Mohammad Adam Jalalel Din berkata, Johor Bahru menjadi negeri pertama yang akan dibuka cawangan diikuti di Kelantan dan Pulau Pinang sebelum melibatkan seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
Katanya, pembukaan cawangan di seluruh negeri itu didorong oleh peningkatan positif industri pelancongan di Malaysia sejak pertengahan tahun ini.
“Selain itu faktor seperti pengukuhan ringgit, kenaikan gaji dan inisiatif tambahan daripada kerajaan telah memberi impak positif pada industri pelancongan.
“Saya lihat ramai yang melancong ke luar negara walaupun yang dekat sekitar Jakarta-Bandung. Begitu juga ke Guangzhou, China.Saya nampak permintaan itu sentiasa ada berbanding tahun sebelum itu dan pada pertengahan 2023,” katanya.
Terdahulu lebih 30 orang pelanggan setia Nuh Travel & Tours mendapat hadiah cabutan bertuah dalam satu majlis baru-baru ini
Mohammad Adam berkata, majlis cabutan bertuah itu adalah kali kedua yang dianjurkan oleh syarikat.
“Sebelum ini, hadiah cabutan bertuah pertama dibuat secara dalam talian untuk pelanggan dan kali ini kami buat secara bersemuka pula.Nampaknya, ada sambutan positif dan baik dari pelanggan, itu sebabnya kami buat kali kedua berdasarkan pendaftaran hampir 1,000 orang dari Jun hingga Oktober 2024.
“Kali pertama nilai hadiah hanya sekitar RM5,000 ke RM7,000. Kali kedua ini, sebanyak 30 hadiah disediakan membabitkan peruntukan sebanyak RM15,000, yang mana pemenang utama telah membawa pulang jongkong emas manakala hadiah kedua berupa sebuah ‘bag air wheel’.
Beliau menambah, cabutan bertuah kali ketiga pula akan diadakan pada Mei 2025 untuk peserta yang berdaftar dari November 2024 hingga April 2025.
Mohammad Adam berkata, Nuh Travel & Tours menyasarkan seramai 6,000 peserta tahun depan, yang mana 4,500 peserta lawatan dan 1,500 peserta umrah.
Melalui kerjasama strategik bersama Emirates dan Saudia serta Dubai Tourism yang dimeterai Ogos lalu, Nuh Travel & Tours yang beroperasi sejak 2019 memulakan penerbangan umrah pertamanya pada 2 November lalu.










