KUALA LUMPUR: Percubaan ketiga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah membuahkan hasil apabila mereka dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada enam pertuduhan melakukan pecah amanah harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, tujuh tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian semalam, selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak terlibat selama dua hari sejak Isnin lalu.
Bagaimanapun, Najib dan Mohd. Irwan masih belum boleh menarik nafas lega kerana mereka boleh didakwa semula di mahkamah pada bila-bila masa.
“Alasan ringkas saya ialah pertamanya, pihak pendakwaan tidak mematuhi peruntukan Seksyen 51A Akta Prosedur Jenayah. Kedua, perintah DNAA ini tidak memprejudiskan pihak pendakwaan kerana mereka boleh menuduh semula kedua-dua tertuduh.
“Ketiga, kes ini telah didaftarkan (didakwa) pada 2018 namun perbicaraan kes tidak boleh diteruskan walaupun tarikh perbicaraan telah ditetapkan beberapa kali. Ini merupakan satu kelewatan yang melampau.
“Permohonan tertuduh pertama (Najib) dan tertuduh kedua (Mohd Irwan) dalam notis usul dibenarkan. Oleh itu tertuduh pertama dan kedua dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA daripada keenam-enam pertuduhan. Wang jamin dikembalikan kepada penjamin,” kata hakim itu.
Menurut Seksyen 51A, pendakwaan perlu menyerahkan segala dokumen berkaitan dengan kes tersebut kepada pembelaan sebelum perbicaraan bermula.
Kes itu sepatutnya mula dibicarakan pada September 2021 namun ditangguhkan bagi memberi laluan kepada perbicaraan kes menyeleweng dana SRC International Sdn. Bhd. dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.
Pada 4 Jun lalu iaitu tarikh sepatutnya perbicaraan bermula, peguam-peguam bela memaklumkan mahkamah terdapat ratusan dokumen yang masih belum diserahkan kepada mereka. – UTUSAN











