GAZA: Kumpulan pejuang Hamas menyifatkan Israel tidak mengambil serius dalam rundingan gencatan senjata di Gaza.
Pegawai kanan Hamas, Osama Hamdan berkata, Israel tidak menawarkan sebarang cadangan tulen dan jelas tidak serius dalam rundingan tersebut.
“Sebarang cadangan dikemukakan, yang memenuhi tuntutan rakyat, menamatkan penderitaan mereka dan menghentikan sepenuhnya pencerobohan Israel, kami akan terima tanpa ragu,” kata Hamdan.
Bercakap kepada saluran TV Al-Aqsa yang dikendalikan Hamas, Hamdan menegaskan Israel tidak mampu untuk mematahkan penentangan Palestin walaupun selama perang selama setahun di kawasan itu.
Sejak serangan 7 Oktober tahun lalu, Israel membunuh lebih 43,000 rakyat Palestin di Gaza dan menyebabkan wilayah itu tidak dapat didiami.
Sehingga kini, usaha yang diketuai Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar bagi mencapai gencatan senjata tidak berhasil, terutamanya disebabkan oleh penolakan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu untuk menghentikan perang.
Hamas pula menegaskan, pihaknya tidak akan menerima sebarang cadangan gencatan senjata selagi tidak memenuhi tuntutan menghentikan sepenuhnya pencerobohan dan menamatkan permusuhan.
Delegasi Israel kembali dari Doha minggu ini, dengan pejabat Perdana Menteri mendakwa perbincangan dengan pengantara dan Hamas akan diteruskan untuk menilai kebolehlaksanaan rundingan serta usaha berterusan untuk memajukan perjanjian.– ANADOLU










