TEHERAN: Syarikat elektrik Iran, Tavanir mengumumkan siri pemotongan bekalan elektrik berjadual di seluruh negara berikutan cuaca sejuk, yang meningkatkan permintaan gas asli dan menyebabkan loji janakuasa berdepan kekurangan gasoil.
Dalam satu kenyataan kelmarin, Tavanir meminta pelanggan untuk menyemak jadual pemotongan elektrik yang diumumkan oleh cawangan tempatan di setiap wilayah Iran.
Menurut Tavanir, pemotongan elektrik disebabkan oleh sekatan bahan api kepada loji janakuasa akibat gelombang sejuk semasa.
Keputusan kerajaan baru-baru ini untuk melarang penggunaan mazut di loji janakuasa bagi mengurangkan pencemaran di bandar industri utama turut menyumbang kepada pemotongan itu.
Ini merupakan kali pertama dalam beberapa dekad Iran melaksanakan pemotongan bekalan elektrik pada musim sejuk, ketika permintaan tenaga meningkat di sektor kediaman, perniagaan dan pembuatan.
Jurucakap kerajaan Iran, Fatemeh Mohajerani dalam hantaran di platform X berkata, pemotongan bekalan elektrik berjadual adalah lebih baik bagi orang ramai daripada terdedah kepada bahan pencemar akibat pembakaran mazut di loji janakuasa.
Kebanyakan loji kuasa di Iran menggunakan gas asli sebagai bahan utama untuk penjanaan elektrik.
Malah, sektor elektrik negara itu menyumbang kepada hampir 250 juta meter padu gas sehari, atau satu pertiga daripada jumlah keseluruhan permintaan gas di Iran.
Bagaimanapun, loji janakuasa kuasa biasanya bergantung kepada bekalan gasoil pada bulan-bulan sejuk apabila permintaan gas asli dalam kalangan isi rumah mencecah paras tertinggi.
Laporan agensi berita Tasnim pada Sabtu menyebut bekalan gasoil ke loji-loji kuasa di Iran merosot sebanyak 43 peratus pada Ogos berbanding bulan yang sama tahun lalu. -AGENSI










