Individu keenam terkaya, Ananda Krishnan meninggal dunia

Individu keenam terkaya, Ananda Krishnan meninggal dunia

T ANANDA KRISHNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Taikun dan ahli perniagaan terkemuka negara, T Ananda Krishnan meninggal dunia semalam pada usia 86 tahun.

Usaha Tegas Sdn Bhd, firma pegangan pelaburan yang diketuai oleh mendiang, mengesahkan berita pemergiannya.

“Dengan rasa sedih kami mengumumkan pemergian pengerusi kami, T Ananda Krishnan, yang meninggal dunia secara tenang pada 28 November 2024.

“Sepanjang hayatnya, mendiang banyak membuat sumbangan besar kepada pembinaan negara dan dunia korporat serta inisiatif dermawannya memberi perubahan positif kepada banyak kehidupan.

“Kami dengan rendah hati meminta agar hasrat keluarga untuk berkabung secara tertutup dihormati,” kata Usaha Tegas dalam satu kenyataan.

Berdasarkan senarai Forbes, Ananda yang sering dirujuk sebagai ‘AK’ merupakan individu keenam terkaya di Malaysia, dengan nilai bersih kekayaannya dianggarkan lebih AS$5 bilion (RM22.2 bilion).

Terkenal dengan sikap rendah dirinya, mendiang membina pelbagai empayar perniagaan merangkumi telekomunikasi, media dan tenaga melalui syarikatnya, Usaha Tegas.

Dilahirkan pada 1938 di Brickfields, Kuala Lumpur, Ananda memperoleh ijazah dalam bidang sains politik dari University of Melbourne dan kemudiannya menamatkan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Harvard Business School.

Penglibatannya dalam dunia perniagaan bermula dengan industri perdagangan minyak, sebelum berkembang menjadi pelaburan dalam teknologi dan media.

Antara pegangan kepentingannya termasuk dalam syarikat telekomunikasi Maxis, Astro Malaysia Holdings Bhd dan Bumi Armada Bhd.

Mendiang juga pernah melancarkan MEASAT sekali gus menjadi perintis industri satelit negara.

Ketika hayatnya, Ananda komited dalam membantu kebajikan masyarakat melalui Yayasan Ananda Krishnan, selain memberi sumbangan besar kepada pendidikan, seni, sukan dan inisiatif kemanusiaan.

Sikap pemurah beliau juga disaksikan dengan pemberian banyak biasiswa pendidikan dan sokongan kepada pelbagai individu tanpa mengira bangsa dan agama.

Sikapnya itu secara tidak langsung mencerminkan dedikasinya dalam membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×