Bas persiaran terbakar, pemandu dan 14 penumpang selamat - Utusan Malaysia

Bas persiaran terbakar, pemandu dan 14 penumpang selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Seorang pemandu bas bersama 14 penumpang berdepan detik cemas selepas bas persiaran dinaiki mereka terbakar di Kilometer 137, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran susur keluar Yong Peng, di sini hari ini.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Muhammad Amier Syah Hamzah berkata, kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada pukul 1.30 petang selepas bas berkenaan dipercayai mengalami masalah teknikal.

Menurutnya, seramai sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya anggota di tempat kejadian, didapati telah berlaku kebakaran melibatkan sebuah bas yang sedang dalam perjalanan menuju ke arah utara.

“Bagaimanapun, kesemua 14 penumpang bersama seorang pemandu bas sempat menyelamatkan diri sebelum ketibaan anggota bomba,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Muhammad Amier Syah berkata, api marak dengan pantas hingga mengakibatkan bas berkenaan mengalami kemusnahan pada keseluruhan struktur kenderaan tersebut.

“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya tanpa melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa, manakala operasi ditamatkan pada pukul 2.48 petang selepas kawal selia keselamatan dilakukan di kawasan sekitar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×