GAZA: Tentera Israel sekali lagi menyerang Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, menyebabkan kakitangan perubatan dan pesakit termasuk bayi baru lahir cedera.
Pengarah jururawat hospital, Sabbah berkata, beberapa kanak-kanak termasuk bayi baru lahir dalam inkubator, menjadi mangsa serangan Israel terhadap fasiliti tersebut.
“Terdapat 125 pesakit di hospital, termasuk kanak-kanak cedera.
“Inkubator menempatkan lapan bayi, manakala Unit Rawatan Rapi (ICU) mempunyai tujuh bayi baru lahir dan kanak-kanak yang memerlukan bantuan alat ventilator,” katanya kepada Al Jazeera.
Namun, serangan Israel merosakkan tingkat atas yang menempatkan wad kanak-kanak, memaksa kakitangan memindahkan bayi dan kanak-kanak ke tingkat bawah yang tidak mempunyai peralatan sama.
Beliau berkata, pasukan Israel turut menahan puluhan kakitangan hospital, termasuk pakar bedah, pakar neurologi dan pakar pediatrik semasa serbuah minggu lalu.
“Hasilnya, hospital kini kekurangan kakitangan perubatan. Hanya terdapat empat orang doktor dan 50 sukarelawan, petugas perubatan serta jururawat.
“Mereka tidak mampu menangani kemasukan besar-besaran mangsa yang cedera dan bekalan perubatan juga tiada.
“Pasukan Israel memusnahkan gudang dan farmasi yang menyimpan bekalan dan banyak kemudahan di hospital turut rosak,” katanya.- AL JAZEERA










