WASHINGTON: Donald Trump akan kembali ke Rumah Putih pada Januari 2025 dengan setiap dasar dan pelantikan utamanya bakal melalui jalan mudah di Kongres, memandangkan Senat dan Dewan Rakyat majoritinya dikawal Republikan.
Usaha membentuk semula dasar luar Amerika Syarikat (AS) ketika peperangan dan ketidaktentuan mencengkam Asia Barat dan beberapa negara Eropah, menjadi tumpuan utama dunia sekembalinya Trump ke Rumah Putih.
RUSSIA, UKRAINE DAN NATO
Semasa berkempen, Trump berulang kali berkata beliau boleh menamatkan perang antara Russia dan Ukraine ‘dalam sehari’.
Apabila ditanya bagaimana, beliau mencadangkan untuk mewujudkan perjanjian, tetapi enggan menjelaskannya secara spesifik.
Menurut kertas penyelidikan yang ditulis oleh dua bekas ketua keselamatan negara Trump pada Mei lalu, AS harus meneruskan bekalan senjatanya ke Ukraine, tetapi dengan syarat Kyiv perlu memasuki rundingan damai dengan Russia.
Bekas penasihat itu berkata, Ukraine tidak harus berputus asa untuk mendapatkan semua wilayahnya kembali daripada pendudukan Russia, tetapi ia harus berunding berdasarkan barisan hadapan semasa.
Pendekatan ‘America First’ beliau untuk menamatkan perang juga turut melibatkan isu strategik masa depan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Trump sekian lama skeptikal dengan perikatan itu tetapi sama ada beliau benar-benar akan menarik balik AS keluar daripada NATO, yang akan memberi isyarat perubahan paling ketara hubungan pertahanan transatlantik dalam hampir satu abad, masih menjadi perdebatan.
Beberapa sekutunya mencadangkan ketegasan hanya taktik rundingan untuk memastikan ahli memenuhi garis panduan perbelanjaan pertahanan pakatan itu.
Tetapi pemimpin NATO bimbang Trump sekali lagi mengancam untuk meninggalkan pakatan itu bagi mendesak negara Eropah menandatangani perjanjian dengan Presiden Russia, Vladimir Putin.
ASIA BARAT
Seperti Ukraine, Trump turut berjanji untuk membawa keamanan ke Asia Barat, membayangkan beliau akan menamatkan perang Israel-Hamas di Gaza dan perang Israel-Hezbollah di Lubnan, tetapi tidak pula mengatakan bagaimana.
Trump berulang kali mengatakan jika beliau berkuasa sepanjang pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, Hamas tidak akan menyerang Israel kerana dasar tekanan maksimumnya terhadap Iran yang membiayai kumpulan itu.
Secara umumnya, kemungkinan Trump akan cuba untuk kembali kepada dasar itu, yang menyaksikan pentadbirannya menarik AS keluar daripada perjanjian nuklear Iran.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggelar Trump sebagai ‘kawan baik yang pernah Israel miliki di Rumah Putih’, yang tentunya menimbulkan kesan ketidakstabilan di rantau itu.
Trump membuat beberapa kenyataan semasa kempen mengatakan beliau mahu perang Gaza ditamatkan.
Beliau mempunyai hubungan yang kompleks dan kadang-kala tidak berfungsi dengan Netanyahu, tetapi sudah tentu berupaya untuk memberi tekanan kepadanya.
Pemimpin berusia 78 tahun itu juga mempunyai sejarah kerjasama yang kukuh dengan pemimpin negara-negara Arab utama yang mempunyai hubungan baik dengan Hamas.
Tidak jelas bagaimana beliau akan menavigasi antara keinginannya untuk menunjukkan sokongan padu kepada kepimpinan Israel, termasuk menamatkan perang berdarah yang mengorbankan banyak nyawa orang awam itu.
CHINA DAN PERDAGANGAN
Pendekatan AS terhadap China adalah bidang dasar luar yang paling strategik dan mempunyai implikasi terbesar untuk keselamatan dan perdagangan global.
Semasa memegang jawatan, Trump melabel China sebagai ‘pesaing strategik’ dan mengenakan tarif ke atas beberapa import China ke AS yangi mencetuskan tarif balasan oleh Beijing ke atas import dari Washington.
Walaupun pentadbiran Biden mendakwa mengambil pendekatan yang lebih bertanggungjawab terhadap dasar China, ia sebenarnya mengekalkan banyak tarif import era Trump.
Dasar perdagangan diketahui sangat berkait rapat dengan persepsi pengundi domestik di AS, terutamanya dalam melindungi pekerjaan di sektor pembuatan.
Justeru, Trump dijangka akan beralih daripada pendekatan pentadbiran Biden untuk membina perkongsian keselamatan AS yang lebih kukuh dengan negara serantau lain dalam usaha membendung pengaruh China.
AS mengekalkan bantuan ketenteraan untuk Taiwan yang diperintah sendiri, yang dilihat China sebagai wilayah pemisah yang akhirnya akan berada di bawah kawalan Beijing.
Dalam kempennya bulan lalu, Trump berkata, jika berjaya kembali ke Rumah Putih, beliau tidak perlu menggunakan kekuatan tentera untuk menghalang sekatan China ke atas Taiwan, sebaliknya akan mengenakan tarif yang melumpuhkan import Beijing jika itu berlaku.-AGENSI










